Sesiapa yang layak boleh jadi menteri kewangan, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Presiden PKR Anwar Ibrahim menolak resolusi yang dibawa pada Kongres Maruah Melayu yang diadakand di Stadium Malawati Shah Alam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

ANWAR Ibrahim hari ini menolak resolusi yang dibuat di Kongres Maruah Melayu semalam bahawa menteri kewangan mestilah dari kalangan orang Melayu-Islam.

Presiden PKR, yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum ini berkata, kriteria utama bagi seseorang itu adalah berkelayakan dan kompeten untuk menjadi menteri kewangan.

“Menteri kewangan mestilah seseorang yang berkelayakan, profesional yang mengambil berat tentang orang Melayu, Bumiputera dan mengambil berat tentang semua rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Pada kongres itu semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Fadhli Shaari, yang membacakan resolusi menggesa semua jawatan utama seperti perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri dikhususkan hanya untuk orang Melayu.

Syarat kaum sama juga dituntut bagi beberapa jawatan menteri kanan antaranya kewangan, pendidikan, pertahanan dan dalam negeri.

Resolusi itu juga mendesak hanya Melayu memegang jawatan institusi utama seperti ketua hakim, ketua polis, ketua setiausaha dan peguam negara.

Selepas pilihan raya umum lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen