DR Mahathir Mohamad menolak dakwaan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan kini merosot, berdasarkan kajian terkini badan penyelidik pendapat Merdeka Centre, seperti dipetik Malaysiakini hari ini.
Perdana Menteri berkata laporan itu tidak tepat kerana tidak menggambarkan keseluruhan pandangan rakyat.
“Saya sedang ada pihak kata sokongan (terhadap kerajaan) sudah menurun. Saya tidak tahu dari mana mereka buat kajian,” katanya, pada sidang media selepas tamat program temu rapat ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan di Subang, petang tadi.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan yakin sokongan rakyat terhadap beliau masih ditunjukkan seperti biasa.
“Apa yang saya tahu, banyak orang yang hendak bersalam dan ambil gambar. Jadi masih ada orang sokong. Ini bukti sokongan masih ada.
“Tetapi apabila kita ada kajian yang bukan keseluruhannya, ditanya kepada kumpulan yang kecil, seolah-olah ia pandangan semua pihak,” katanya.
Malaysiakini hari ini memetik sumber melaporkan ahli Parlimen yang menghadiri pertemuan tertutup dua hari itu terkejut apabila diberi taklimat mengenai sokongan semasa kerajaan.
Sokongan itu menjunam kepada 35% berbanding 87% ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lebih setahun yang lalu, dan kemerosotan itu berlaku menjelang pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai.
Laporan itu membayangkan PH boleh kalah pilihan raya kecil yang dijadual berlangsung 16 November ini.
Dalam laporan terakhirnya yang didedahkan kepada umum pada Julai 2019, Merdeka Centre merumuskan ramai rakyat merasakan Malaysia berada di landasan yang betul berbanding pada Mac 2019.
Merdeka Centre mendapati sokongan rakyat kepada Dr Mahathir secara peribadi juga meningkat sementara sokongan kepada kerajaan pimpinannya kekal walaupun popularitinya merosot dalam kalangan pengundi Melayu. – 6 Oktober, 2019.
Komen