Lebih ramai yakin Malaysia di landasan betul, dedah kajian Merdeka Centre


Chan Kok Leong

Semakin ramai rakyat merasakan Malaysia kini berada di landasan yang betul berbanding empat bulan lalu, menurut kajian Merdeka Centre. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2019.

SEMAKIN ramai rakyat merasakan Malaysia kini berada di landasan yang betul berbanding empat bulan lalu, berdasarkan kajian terbaru badan penyelidik Merdeka Centre.

Kajian pada Jun lalu menunjukkan 40% responden yang terdiri daripada pengundi pelbagai kaum merasakan Malaysia di landasan betul, berbanding 34% pada Mac lalu.

Sebagai perbandingan, mereka yang Malaysia di landasan yang salah menurun daripada 46% pada Mac lalu kepada 38% pada bulan lepas.

Kajian yang dijalankan antara 28 Jun hingga 1 Julai ini turut menunjukkan peningkatan sentimen terhadap kerajaan dalam kalangan pengundi Melayu.

Sentimen pengundi Melayu mengenai hala tuju negara naik tujuh mata daripada 24% pada Mac 2019 kepada 31%.

Sentimen pengundi Cina juga naik 10 mata antara tempoh sama kepada 53% sekarang.

Walaupun sentimen pengundi Melayu dan Cina menunjukkan kemajuan, sentimen pengundi India merosot.

Kaji selidik itu menunjukkan sentimen pengundi India mengenai hala tuju Malaysia jatuh kepada 45%, daripada 63% pada empat bulan lalu.

Menurut Merdeka Centre, sentimen yang memberangsangkan ini dipercayai kesan perancangan kerajaan yang lebih jelas selepas pengumuman langkah menyelamatkan Felda dan Tabung Haji.

Bantuan tunai melalui Bantuan Sara Hidup untuk meringankan beban hidup rakyat juga satu faktor lain, kata badan itu.

Responden juga menyebut sentimen mereka positif kerana pentadbiran yang baik (18%), usaha kerajaan melawan rasuah (15%) dan ekonomi yang semakin baik (10%).

Mereka yang berpendapat negara kini di landasan yang salah berkata mereka bimbang dengan isu ekonomi (32%), kepimpinan (12%) dan pentadbiran yang lemah (12%).

Kaji selidik Merdeka Centre ini melibatkan 961 responden berumur lebih 21 tahun yang tinggal di semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Kajian dijalankan antara 28 Jun hingga 1 Julai lalu. Julat ralatnya dianggarkan 3.16%. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen