Wayang ‘Dr Mahathir turun, Anwar naik’ jejas wibawa Pakatan


Chan Kok Leong

Wayang kedudukan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim perlu dihentikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

WAYANG pelan pemindahan kuasa tidak berkesudahan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim boleh menjejaskan kewibawaan pakatan pemerintahan walaupun kesannya kepada ekonomi masih belum jelas, kata penganalisis dan sumber dalaman Pakatan Harapan.

Situasi tidak menentu itu memberi gambaran tidak baik kepada PH dan Malaysia, kata pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Azmil Tayeb.

“Biasanya dalam demokrasi berparlimen pemimpin parti terbesar pakatan pemerintah akan menjawat kedudukan perdana menteri.

“Tetapi itu tidak berlaku di Malaysia. Ia teladan yang tidak berapa baik. Dalam amalan biasa demokratik, Dr Wan Azizah Wan Ismail (timbalan perdana menteri) mempunyai lebih hak berbanding Dr Mahathir kerana PKR adalah parti terbesar pemerintah.

“Kedudukan perdana menteri di Malaysia adalah permainan rundingan elit dan ia tidak elok untuk demokrasi dan memburukkan Pakatan di mata pengundi kerana ia menampakkan pemimpinnya gila kuasa dan tak peduli tentang keperluan rakyat,” kata Azmil kepada The Malaysian Insight.

Selepas PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada pilihan raya 2018, pelbagai media melaporkan yang pemindahan kuasa mengikut perjanjian empat parti komponen PH akan berlaku dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, butiran tentang perjanjian itu tidak pernah didedahkan kepada rakyat, tetapi pada masa sama tidak ada seorangpun pemimpin PH menafikan tempoh dua tahun itu.

Kenyataan terbaru “tidak ada tempoh masa khusus” untuk pemindahan kuasa juga mengejutkan banyak pihak termasuklah pemimpin PH sendiri.

Semalam, Dr Mahathir berkata tidak ada tarikh khusus untuk pemindahan kuasa kepada Anwar kerana masih banyak perkara belum diselesaikan.

Beberapa jam kemudian, Anwar pula dilaporkan berkata walaupun wujud perbincangan antaranya dengan Dr Mahathir, tiada tarikh khusus ditetapkan lagi.

Masih banyak isu perlu ditangani Pakatan Harapan, tetapi mereka perlu menyelesaikan secepat mungkin soal pengganti Dr Mahathir Mohamad sebelum rakyat hilang percaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

Sementara itu, Dr Wan Azizah juga menggesa semua pihak berhenti bertikai tentang pemindahan kuasa perdana menteri, menambah ia sudah dipersetujui parti PH dan menyeru tumpuan diberikan kepada isu negara lain.

Seorang sumber PKR berkata kenyataan terbaru Dr Mahathir ketika berada di Amerika Syarikat bahawa beliau “mempunyai sekurang-kurangnya mungkin tiga tahun lagi” mengejutkan banyak pihak. Sehingga ada yang merasakan Dr Mahathir akan terus berkuasa sehingga 2022.

“Tetapi, sebahagian daripada kami percaya ia dimulakan Anwar yang berkata beliau akan mengambil alih pada Mei 2020 (dua tahun selepas PH menang PRU14),” kata sumber itu.

Anwar Ibrahim mendakwa Dr Mahathir tidak mahu mendedahkan tarikh khusus kerana tidak mahu pentadbiran sekarang dalam keadaan lemah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Oktober, 2019.

Anwar ketika diwawancara oleh Bloomberg sebelum ini dipetik berkata “lebih kurang tempoh itu” ketika menjawab soalan tentang pemindahan kuasa.  Kenyataan itu mengejutkan sumber PKR tersebut yang pergi ke permukiman parti di Port Dickson.

Katanya, tidak wajar untuk Anwar bercakap tentang peralihan akan berlaku pada Mei 2020 kerana dua bulan sebelum itu, presiden PKR itu sendiri mengesahkan pengumuman isu itu hanya akan dibuat bersama-sama Dr Mahathir.

“Mungkin sebab itu Dr Mahathir cakap begitu ketika di AS,” kata sumber.

Sumber PKR itu juga memberitahu yang Anwar ketika perhimpunan wakil rakyat parti itu pada Julai mendedahkan Dr Mahathir tidak mahu mengumumkan tarikh sebenar pemindahan kuasa kerana tidak mahu “dilemahkan”.

Dr Mahathir, dikatakan, mengambil iktibar daripada tindakannya mengumumkan peletakan jawatan selaku perdana menteri pada Perhimpunan Agung Umno 2002 dahulu.

Walaupun beliau hanya menyerahkan jawatan itu kepada Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003, Dr Mahathir menyedari selepas pengumuman, arahannya sudah tidak didengar sehingga menyukarkannya menjalankan tugas.

Bagi mengelakkan perkara ini berulang, Anwar berkata, mereka bersetuju tidak akan membuat sebarang pengumuman sehingga benar-benar bersedia. – 4 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen