Pengerusi  sekolah mubaligh mahu bersemuka dengan menteri pendidikan


Moey Yoke Lai berkata persekutuan itu terkejut dan bimbang dengan kekeliruan dan kontroversi yang timbul dan mahu bertemu dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

PERSEKUTUAN Majlis Sekolah Mubaligh Kristian (FCMSM) di Malaysia akhirnya bersuara selepas berdiam diri berhubung isu dakwaan “doa Kristian” di sebuah sekolah Pulau Pinang bagi menjernihkan perkara sebenar mengenai insiden itu di samping mahu bertemu dengan menteri pendidikan.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, pengerusi FCMSM, Moey Yoke Lai berkata persekutuan itu terkejut dan bimbang dengan kekeliruan dan kontroversi yang timbul daripada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2019 di sekolah tersebut.

Sekolah Methodist Girls ‘School (MGS), menjadi tumpuan apabila laporan polis dibuat oleh seorang lelaki tempatan, Muhsin Abdul Latheef, 35, Jumaat lalu, mendakwa bahawa doa Kristian diadakan semasa majlis penyampaian hadiah.

Dalam laporannya, Muhsin menuduh sekolah tersebut cuba mengkristiankan pelajar Islam, di samping turut menambah bahawa terdapat 347 murid Islam dan hanya 161 orang bukan Islam di sekolah berkenaan. Beliau juga berkata terdapat 26 guru Islam dan 14 guru bukan Islam yang menjadi tenaga pengajar .

Moey, bagaimanapun berkata acara itu berjalan dengan lancar, aman dan berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

FCMSM tidak menyatakan sama ada “doa Kristian” dibaca pada majlis tersebut.

“Lembaga pengurus dan sekolah bertindak sesuai dengan karakter, etika dan tradisi sekolah mubaligh. Sejak 128 tahun sejarahnya, MGS Primary, Pulau Pinang, tidak pernah mempromosikan perpecahan.

“Ia sentiasa mengajar nilai-nilai keamanan, cinta dan keharmonian untuk kebaikan bersama, kata Moey dalam kenyataan itu. – 3 Oktober, 2019.

Beberapa kumpulan muslim bagaimanapun menyatakan rasa tersinggung dengan insiden tersebut dengan mengatakan bacaan doa Kristian di acara sekolah tidak boleh diterima.

Ibu bapa pelajar muslim juga turut menyatakan rasa tersinggung dengan apa yang berlaku dan mengatakan akan mengeluarkan anak mereka dari sekolah tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata semalam bahawa bacaan doa itu diungkap ketika ucapan mengenai perpaduan ketika acara itu dijalankan.

“Pada hari tersebut, tidak ada bacaan doa diadakan. Apa yang ada adalah ucapan mengenai perpaduan yang dirancang pentadbir sekolah.

FCMSM mengatakan mereka juga turut menunggu hasil siasatan polis berkenaan insiden itu.

“Sementara menunggu hasil siasatan, FCMSM mahu menjernihkan keadaan dengan mengadakan dialog bersama menteri pendidikan,” kata Moey dalam kenyataannya.

FCMSM terdiri daripada 25 badan mubaligh yang memiliki 429 buah sekolah di Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia. – 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen