Skandal kewangan Vatican, 5 digantung tugas


Pendakwa raya menyerbu Vatican pada Selasa berkaitan beberapa transaksi kewangannya yang meragukan. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2019.

LIMA pekerja Vatican termasuk dua pegawai anti pengubahan wang haram digantung tugas susulan serbuan polis berkaitan dengan salah laku kewangan, lapor media Itali semalam.

Pihak berkuasa Vatican masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan selepas pendakwa raya merampas dokumen dan peranti elektronik dari pejabat dua jabatan utama Vatican, Setiausaha Negara dan pihak berkuasa FIA.

Majalah L’Espresson menerbitkan pekeliling polis bertarikh semalam, menunjukkan gambar dan jawatan lima orang “yang digantung tugas sebagai langkah pencegahan”.

Pekeliling turut menyebut yang pengawal Vatican juga tidak lagi dibenarkan bertemu dengan individu terbabit kecuali atas urusan kesihatan.

Salah seorang yang digantung tugas, Ketua Setiausaha Maklumat dan Dokumentasi Mauro Carlino akan terus menetap di kawasan kediaman sama dengan Pope Francis.

Turut dinamakan ialah Pengarah FIA Tommaso Di Ruzza. FIA adalah pihak berkuasa anti pengubahan wang bebas dibentuk untuk memastikan ketelusan wujud dalam operasi Institut Kerja Agama, yang bertindak sebagai Bank Vatican.

Tiga orang lagi yang digantung tugas memegang jawatan pentadbiran.

Vatican berkata serbuan pada Selasa yang mendapat keizinan pendakwa raya Gian Piero Milano dan timbalannya Alessandro Diddi “dikaitkan dengan aduan pada musim panas lalu oleh Institut Kerja Agama dan Pejabat Ketua Audit berkaitan dengan beberapa transaksi kewangan dalam tempoh tertentu.

Setiausaha Negara, pejabat pentadbiran Gereja Katolik pula bekerja rapat dengan Pope Francis.

L’Espresson melaporkan yang siasatan itu tertumpu kepada “operasi hartanah di luar negara” terutama di London yang didakwa ada kaitan dengan syarikat British.

Majalah itu mendedahkan para penyiasat sedang menganalisis transaksi akaun bank yang menerima sejumlah wang didermakan kepada Gereja Katolik. – AFP, 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen