Membetulkan naratif hak Melayu


SECARA umumnya dengan meletakkan tajuk “Kedaulatan Melayu”, sesiapa pun akan menjangka secara munasabah bahawa penceramah akan mengupas identiti dan konsep “Bangsa Melayu” yang kemudian itu akan dijuruskan ke arah ruang lingkup “kedaulatan”.

Sesiapa pun akan mengandaikan bahawa penceramah akan mengupas permasalahan feudalisme dalam masyarakat Melayu. Tetapi selalunya hadirin ceramah akan dikecewakan kerana ia akan lebih merupakan ceramah yang berkisarkan “Kedaulatan Raja-Raja Melayu” dan bukannya “Kedaulatan Melayu”.

Di Fakulti Undang- Undang UiTM, dalam subjek Undang-Undang Perlembagaan, pelajar didedahkan kepada permasalahan feudal masyarakat Melayu, bermula dengan “Kisah Pelayaran Abdullah” berkenaan dengan penindasan yang dilakukan oleh golongan bangsawan Melayu dalam masyarakat Melayu.

Seterusnya pelajar membedah permasalahan feudalisme dalam masyarakat Melayu dengan merujuk kepada buku-buku hasil penulisan sarjana tempatan seperti “The Myth of the Lazy Native” karangan Professor Syed Hussein Alatas, “Protector: An Analysis of the Concept and the Practice of Loyalty in Leader-led Relationships Within Malay Society” karangan Dr Chandra Muzaffar dan “Concept of Hero in Malay Society” karangan Dr Shaharuddin Maaruf.

Kemudian pelajar mendalami isi perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dengan pihak British di mana Raja-Raja Melayu telah menyerahkan sebahagian besar kuasa mereka kepada pihak British.

Pelajar juga melihat kepada sistem ekonomi, tanah dan pelajaran orang Melayu semasa zaman British di mana pihak British hanya melindungi kepentingan mereka, golongan pemodal kapitalis dan bangsawan Melayu.

Berkenaan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, pelajar melihat kepada sejarah “kedudukan istimewa” orang Melayu  dan peruntukan ini bermula dengan semangat Orientalism Frank Swettenham mengenai sifat orang Melayu dalam bukunya “The Real Malay”—sebuah buku yang memberikan gambaran menyedihkan mengenai orang Melayu.

Pendapat Swettenham mengenai orang Melayu sebagai “pewaris” atau “the heir to the inheritance” diperhalusi dengan melihat kepada sosio-ekonomi orang Melayu pada zaman tersebut di mana pihak British langsung tidak melindungi kaum pribumi malah mereka hanya memberikan perlindungan dan keistimewaan kepada golongan bangsawan.

Pelajar juga melihat kepada intipati “perezaban dalam kadar munasabah” dalam Perkara 153 yang disokong oleh Kertas Putih Kerajaan Malaysia yang bertajuk “Ka Arah Negara Harmoni” pada tahun 1971 dan juga analisis ekonomi orang Melayu dalam buku “Ownership and Control in the Malayan Economy” karangan James Puthucheary dan buku “The Colour of Inequality” karangan Dr Muhammed Abdul Khalid untuk melihat jurang ekonomi antara kaya dan miskin.

Kesemua isi penting di atas tidak pernah disentuh dalam kebanyakan ceramah mengenai “kedaulatan Melayu”, “perpaduan Melayu”, “hala tuju kaum Melayu” dan “maruah Melayu” yang dianjurkan di universiti awam.

Selama ini, wacana atau naratif berkaitan dengan Melayu telah dijadikan alat atau modal politik yang hanya mampu membawakan wacana dan naratif songsang yang berkisarkan “kita bangsa istimewa, kita telah menjadi mangsa, kita sudah hilang kuasa, kita ada hak, kita perlu tuntut dan pertahankan hak kita, kita mesti bersatu”.

Ramai penceramah gemar menggunakan “7 Wasiat Raja-Raja Melayu” dalam ceramah mereka.  Masalah utama dalam perkara tersebut bukanlah hakikat bahawa sehingga kini tiada rekod di Arkib Negara mengenai “7 Wasiat Raja-Raja Melayu” tersebut. Kesemua penceramah tersebut tidak pernah membincangkan secara terperinci isi kandungan Wasiat tersebut.

Tidak pernah dikupas kenapa Raja-Raja Melayu dengan sokongan pembesar-pembesar Melayu menjemput pihak British untuk campur tangan di negeri Melayu pada waktu itu.

Tiada kedengaran analisis sejarah dan sosio-ekonomi berkenaan Enakmen Rizab Melayu yang kononnya untuk melindungi orang Melayu tetapi hanya mengaburi orang Melayu kerana tanah-tanah yang subur dan strategik hanya menjadi keutamaan untuk kepentingan pihak British, pemodal kapitalis penyokong ekonomi penjajah dan juga bangsawan Melayu.

Tiada juga penjelasan yang diberikan perihal perenggan 169 dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang menyatakan bahawa Raja-Raja Melayu tidak mahu Islam dimasukkan sebagai agama rasmi persekutuan di dalam Perlembagaan 1957.

Rata-rata penceramah amat ghairah mencanangkan bahawa “kita gunakan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu itu sebagai sumber kekuatan kita” dan “kita tuntut hak kita disebabkan 7 Wasiat Raja itu”.  

Siapakah “kita” yang dimaksudkan itu tidaklah dikenal pasti dan bagaimana cara “menuntut hak kita” itu juga langsung tidak diberitahu. Ramai yang gemar bermain dengan sentimen berhubung dengan perkara  ini.

Lantaran itu adalah amat penting bagi pengkaji sejarah dan para akademik yang tulen untuk memperhalusi “7 Wasiat Raja-Raja Melayu” ini kerana Raja-Raja Melayu perlu menerima nasihat yang menyeluruh untuk mengelakkan institusi Raja-Raja Melayu daripada digunakan sebagai alat kepentingan politik.

Sejarah juga menunjukkan bahawa golongan bangsawan gagal menasihati Raja-Raja Melayu pada zaman dahulu kerana masing-masing hanya menumpukan kepada kepentingan peribadi masing-masing.

Apabila memperkatakan universiti sebagai “gedung ilmu”, sepatutnya perkara-perkara ini tidak berlaku di universiti-universiti yang dikatakan penuh dengan cendekiawan dan ilmuan.  Mungkin kerana ramai yang tidak ambil peduli. Mungkin kerana adalah lebih penting menjaga “periuk nasi” sendiri daripada “membuat kacau”.

Malah mungkin juga kerana isu ini amat picisan dan tidak mempunyai nilai-nilai inovasi, keusahawanan, Revolusi Industri 4.0.

Apabila menteri pendidikan mengumumkan bahawa para pelajar universiti akan mengambil kursus tambahan berkenaan dengan “falsafah dan isu-isu semasa”, dikhuatiri kursus tersebut hanya akan dipenuhi dengan sentimen syok sendiri yang diajar oleh penceramah yang langsung tidak pernah membaca apa-apa buku mengenai feudalisme dalam masyarakat Melayu.

Fenomena penceramah syok sendiri ini sudah lama menjadi gejala dan wabak penyakit di negara ini dan tiada apa-apa tindakan diambil terhadap mereka meskipun ada yang gigih turut serta aktif dalam aktiviti politik Umno.

Adalah diharapkan sempena dengan sambutan Hari Akademia Negara pada minggu ini, pihak yang terbabit akan mengambil tindakan terhadap perkara ini.

Sekiranya pihak kerajaan hanya sekadar “memandang serius terhadap perkara ini”, maka sambutan Hari Akademia Negara hanya akan jadi pembaziran semata-mata. – 3 Oktober, 2019.

*Mohd Nazim Ganti Shaari adalah pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen