DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) gagal membayar gaji 14 kakitangan sokongannya sejak Ogos lalu, selepas badan itu terlibat dalam krisis kepimpinan yang berlarutan sehingga ke mahkamah, kata sumber.
Krisis kepimpinan antara bekas presiden DPMM Rizal Faris Mohideen Abdul Kader dengan bekas timbalannya Syed Hussein Alhabshee menyebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung pendaftaran DPMM pada awal Ogos lepas.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, krisis kepimpinan antara dua kem dalam DPMM itu juga menyebabkan akaun bank badan itu dibekukan, manakala hanya sebahagian gaji bagi bulan Ogos dibayar.
“Walaupun pengurusan baharu sudah ambil alih DPMM, gaji kami yang tertunggak bagi Ogos dan gaji September masih belum dibayar.
“Ini memberikan beban kewangan yang besar kepada kakitangan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight sudah cuba mendapatkan pihak pengurusan DPMM untuk reaksi balas namun mereka enggan memberi komen lanjut.
Pegawai kanan DPMM yang dihubungi berkata isu tunggakan gaji itu sedang cuba diselesaikan minggu ini.
The Malaysian Insight difahamkan DPMM membayar pendahuluan gaji bagi Ogos sebanyak dua kali iaitu 20% daripada gaji dan kemudian RM500 seorang.
Sumber mendakwa empat kakitangan sudah berhenti kerja kerana tidak tahan menanggung beban kewangan. Mereka yang berhenti belum lagi dibayar baki gaji bagi Ogos dan gaji setakat bekerja pada September.
Seorang lagi sumber memberitahu pihak Majlis Eksekutif Dewan pernah membuat janji secara lisan untuk melunaskan baki gaji Ogos pada 18 September lalu namun belum ditunaikan sampai sekarang.
“Sehingga hari ini, kami tidak mendapat bayaran penuh walaupun sudah masuk 30 September 2019,” katanya.
Sumber berkata isu gaji tidak dibayar ini menyebabkan banyak dalam kalangan mereka mengalami gangguan emosi.
Beliau berkata, isu tunggakan gaji menyebabkan kebanyakkan kakitangan berdepan masalah emosi hingga ada yang terpaksa berhenti kerja.
“Duit makan dan duit minyak sekarang pun kena bercatu,” katanya.
DPMM bergolak sejak akhir tahun lalu selepas 18 pimpinan kanannya mengadakan mesyuarat agung luar biasa memecat Rizal.
RoS pada 4 September lalu mengesahkan keputusan mesyuarat agung luar biasa itu, yang kemudian turut disahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
DPMM bergolak antara lain kerana isu dana RM5 juta untuk badan itu yang didakwa dipindahkan oleh Rizal ke akauan Yayasan DPMM Pulau Pinang tanpa kelulusan.
Syed Hussein dan 17 ahli DPMM memfailkan saman terhadap Rizal berhubung dana itu. – 1 Oktober, 2019.
Komen