MAHKAMAH Tinggi hari ini memutuskan Syed Hussien Alhabshee adalah presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang sah.
Hakim Mariana Yahaya membuat keputusan itu selepas mengesahkan notis oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengatakan pemecatan presiden DPMM Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi adalah selari dengan perintah yang dikeluarkan RoS semalam.
“Ini bermakna mesyuarat agung luar biasa dijalankan pada 22 November 2018 adalah sah. Dan dengan keputusan itu jawatan Rizal sebagai presiden dilucutkan serta-merta,” kata peguam yang mewakili 18 ahli DPMM.
Seramai 18 ahli DPMM termasuk Syed Hussien membawa isu dalaman persatuan itu ke mahkamah pada Jun lepas.
Ia susulan pemecatan mereka oleh Rizal kerana didakwa menjalankan mesyuarat agung luar biasa secara tidak sah di sisi undang-undang pertubuhan Malaysia dan pada 28 Jun menegaskan beliau masih lagi presiden DPMM.
Menurut Rizal, mesyuarat agung luar biasa dibuat untuk merampas kuasa daripada kepemimpinan DPMM yang sah, mengelirukan serta memperdaya ahli dan masyarakat umum.
Sementara itu naib presidennya Fauzi Hassan berkata senarai keahlian yang dipapar dalam rekod e-RoS dilakukan Rizal secara menyalahi undang- undang.
“Rizal memasukkan sendiri senarai keahlian DPMM yang tidak sah. Dan ia diakui oleh RoS berpunca daripada kelemahan sistem.
“Kerana itu mahkamah juga tadi memutuskan agar Rizal menyerahkan kata laluan e-RoS kepada ahli DPMM yang sah,” katanya.
Menurut Fauzi, mesyuarat luar biasa yang dibuat bagi memecat Rizal dulu selepas mendapati berlakunya penyelewangan dana DPMM sebanyak RM5 juta.
“Dana itu diperuntukkan Kementerian Kewangan kepada DPMM. Dan selepas siasatan, kita percaya dana diselewangkan melebihi RM5 juta,” katanya.
Justeru, DPMM kini turut menggantung jawatan empat jawatankuasa negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan bagi membolehkan siasatan dijalankan. – 5 September, 2019.
Komen