Di sebalik janji politik, golongan B40 masih dihimpit kesempitan 


Ragananthini Vethasalam

Kerajaan perlu fokus memperbaharui perkara utama seperti meningkatkan bidang kemahiran dan pendidikan, dan memperluaskan bidang keusahawanan dan peluang menjana pendapatan untuk B40. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2019.

WALAUPUN kerajaan cuba mengimbangi perbezaan pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, golongan berpendapatan rendah masih merasakan gaji mereka belum cukup menampung perbelanjaan asas dan keperluan.

Golongan Pendapatan Bawah 40 (B4) berkata kehidupan selesa hanya satu impian kerana gaji yang masih rendah dan dibelenggu komitmen bulanan.

Pakar pula berpendapat, kerajaan perlu fokus dalam memperbaharui perkara utama seperti meningkatkan bidang kemahiran dan pendidikan, dan memperluaskan bidang keusahawanan dan peluang menjana pendapatan untuk B40 bagi merapatkan jurang pendapatan.

Melinda (bukan nama sebenar) yang bekerja di firma audit dengan gaji RM2,000 sebulan berkata beliau tidak mampu membeli sebuah kereta dan rumah dengan pendapatannya itu.

“Saya masih bergantung kepada bantuan ibu bapa. Saya tidak boleh mengembara dan kadar inflasi juga tinggi. Jarang sekali untuk saya menyimpan wang,” katanya kepada The Malaysia Insight.

“Kawan saya yang sama-sama bekerja juga mempunyai komitmen kewangan seperti pinjaman pendidikan, pinjaman kereta, bil untuk dibayar dan perlu menampung keluarga.

“Ada yang kahwin awal dan mempunyai anak kecil untuk ditanggung. Sukar untuk menanggung semua ini,” katanya.

Melinda berkata gajinya hanya mencecah RM2,500 selepas empat tahun bekerja dan faedah perubatan serta cuti tahunan juga tidak begitu ketara.

“Kami hanya mendapat elaun makan harian sebanyak RM6,” katanya sambil menambah beliau terpaksa bekerja lebih masa sehingga 12 jam.

Kerajaan perlu fokus dalam memperbaharui perkara utama seperti meningkatkan bidang kemahiran dan pendidikan, dan memperluaskan bidang keusahawanan dan peluang menjana pendapatan untuk B40 bagi merapatkan jurang pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Seorang jurujual yang enggan dikenali berkata gajinya RM1,100 tidak mampu menampung perbelanjaan seperti ultiliti, termasuk bil telefon dan lain-lain.

“Kadang-kala saya perlu membaiki kereta,” kata wanita itu sambil menambah pendapatannya tidak setimpal dengan tugas yang dilakukan.

“Gaji pokoknya kecil kerana komisyennya tinggi. Ada risiko dalam kerja ini. Jika banyak jualan, maka banyak wang yang akan kita dapat, jika tidak sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun bagi Iskandar, kerjanya sebagai penghantar makanan dengan gaji RM1,100 sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan dan membantu ibu bapanya.

Ini kerana beliau masih belum berkahwin dan tidak mempunyai komitmen yang besar.

Berdasarkan data Jabatan Statistik, purata pendapatan isi rumah bagi golongan B40 setakat 2016 adalah RM3,000 manakala golongan berpendapatan tinggi T20 pula RM13,148.

Laporan Institut Kajian Khazanah yang disiarkan tahun lalu menunjukkan indeks Gini yang digunakan sebagai pengukur statistik untuk ketidaksamaan pendapatan, menurun sejak 1970-an.

Berdasarkan data Jabatan Statistik, purata pendapatan isi rumah bagi golongan B40 setakat 2016 adalah RM3,000 manakala golongan berpendapatan tinggi T20 pula RM13,148. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Gini Malaysia menurun dari 0.513 pada 1970 kepada 0.399 pada 2016, sekali gus memberi petunjuk pengurangan ketidaksamaan pendapatan rasmi.

Jika indeks Gini menunjukkan angka sifat, maka semua isi rumah mempunyai pendapatan yang sama rata.

Bagaimanapun jurang pendapatan antara golongan T20 dan B40 hampir sekali ganda apabila diukur secara mutlak.

“Sebagai contoh, walaupun ukuran ketidaksamaan pendapatan menunjukkan kemajuan, jurang ketara pendapatan isi rumah antara kelas pendapatan berbeza terus meningkat.

“Dalam tempoh dua dekad, jurang sebenar pendapatan isi rumah hampir sekali ganda antara T20 dan B40,” kata laporan itu. – 30 September, 2019.

Berita penuh di sini.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen