DEMI menjana pendapatan lebih bagi menghadapi kos sara hidup tinggi di bandar, seorang pesara guru Iskandar Ab Rashid mengusahakan kebun menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri, di samping menjana pendapatan dengan membekalkan produk-produk organik dalam pasaran tempatan.
Menurut Iskandar, ia diusahakan demi membesarkan anak-anaknya seramai sembilan orang apabila mendapati gajinya sebagai guru tidak mencukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Iskandar juga berkata keadaan kewangan mereka sekeluarga yang sebegitu rupa menyebabkan beliau terpaksa memotong kos perbelanjaan dan mula berkebun sejak sepuluh tahun dahulu
Selain faktor itu, beliau mengatakan faktor kesihatan juga menjadi alasan utama kerana mempercayai sayur-sayuran yang ada di pasaran mempunyai racun-racun kimia serangga yang boleh menyebabkan kesihatan tubuh badan terjejas.
Iskandar bermula dengan menanam sayur secara kecil-kecilan di dalam pasu di rumah pangsapuri namun kemudian beliau berhenti menjadi guru.
“Mana- mana saya duduk saya akan tanam. Masa saya duduk di pangsapuri pun saya tanam cuma tidak konsisten kita berkerja waktu itu sehingga saya berhenti jadi cikgu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Selepas berhenti menjadi guru, pemegang ijazah dalam bidang Biologi dari universiti di Amerika Syarikat itu mula menumpukan projek tanaman sendiri di rumah teres dua tingkat lot tepi miliknya di Semenyih, Selangor.

Uniknya, kebun mini Iskandar yang berkeluasan 30x40 tidak bukan hanya dipenuhi 30 jenis tanaman sayuran herba organik bahkan beliau turut menternak ayam, itik dan ikan keli.
Kini, sejak lebih lapan tahun beliau sekeluarga menikmati hasil dari makanan yang ditanam sendiri dan tidak perlu lagi ke pasar setiap dua kali seminggu.
“Kalau saya pergi pasar pun hanya akan beli apa yang kita tak ada di rumah, itu pun jarang sangat,” katanya.
Iskandar berkata dahulu, beliau menghabiskan sebanyak RM600 sebulan hanya untuk membeli sayur namun kini hanya berbelanja RM100 atau RM50 sebulan.
“Beli sayur ni sebenarnya lagi mahal daripada harga ayam, ramai orang sebenarnya tak sedar pasal itu.
“Macam saya akan ke pasar dua kali seminggu, selalunya habis RM300. Sebulan anggaran perbelanjaan dalam RM1500
“Namun sekarang barang basah saya cuma belanja sekitar RM400 atau RM500, katanya.
Tanaman mula jana pendapatan
Lebih daripada itu, projek tanaman sendiri Iskandar bukan saja dapat menjimatkan kos perbelanjaan yang dihadapinya namun ia turut menjana pendapatan beliau sekeluarga.
Daripada hasil tanaman di rumahnya, Iskandar dapat menjual sayur-sayutan di kedai dan pasar tani di Cyberjaya seminggu sekali.
“Saya menjual tapi hanya untuk suka-suka saja, seperti saya akan buat satu set ulam dalam bentuk bungkusan kemudian jual di gerai seminggu sekali,” katanya yang turut menjual anak benih dan baja.

Tambahnya sayur yang dijual sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana beliau hanya menanam sayur yang bermanfaat dan jarang didapati di pasar.
“Seperti pokok ginseng jawa yang saya tanam Orang Indonesia akan suka beli untuk dibuat jamu.
“Dan biasa mereka akan beli dalam RM50 ke RM100,” katanya.
Selain itu, menurut Iskandar, sayur yang ditanamnya menjadi pilihan kerana beliau menanam secara organik tanpa racun kimia.
Beliau menggunakan kelebihannya sebagai ahli biologi untuk mencari kaedah menanam paling sesuai tanpa meletakkan racun kimia bagi mengelakkan serangga perosak.
Tanam sendiri lebih jimat
Kejayaan Iskandar mengusahakan tanamannya di rumah menyebabkan dirinya sering kali dijadikan tempat rujukan.
Setiap minggu Iskandar akan mengadakan kelas menanam dan beliau juga aktif dalam penulisan blog dan Facebook ‘tanam sendiri’ yang memberi panduan dan tips kaedah berkebun.
Selain menguruskan kebun mininya, Iskandar turut menerbitkan lebih 20 judul buku khusus untuk penanaman sayur mengikut jenis-jenisnya.
“Ada juga mereka yang tinggal di apartment atau kondominum datang kepada saya minta saya ajar bagaimana menaman dengan ruang yang terhad begitu,” katanya.
Beliau berkata masyarakat bandar sering menjadikan alasan mempunyai ruang yang terhad untuk tidak bercucuk tanam.
Namun persepsi itu yang harus dikikis kerana iklim Malaysia yang panas sepanjang masa sebenarnya sesuai untuk bercucuk tanam.
“Sebenarnya kita boleh tanam di mana- mana saja yang penting kita ada ruang sikit dan cahaya matahari.
“Kalau di tempat gelap pun sebenarnya kita masih boleh menanam, beli saja lampu LED, sekarang harganya murah.
“Dan kalau nak ikutkan beli lampu LED itu lagi murah berbanding kos yang anda kena keluarkan setiap bulan untuk membeli sayur,” katanya.

Iskandar mengakui tidak pernah menyesal bersara awal sebagai guru kerana ternyata menanam sendiri sayur-sayuran memberi banyak manfaat kepadanya.
“Sebenarnya kalau orang tanya saya patut mula dari masa saya muda lagi (tanam sendiri).
Iskandar bukan satu-satunya individu yang melakukan aktiviti berkebun dalam bandar.
Suriani Ahmad berusia 45 tahun juga turut berkebun di kebun mini rumah teresnya di Gombak, Selangor, sejak tahun lepas.
Walaupun ia adalah unit yang disewa, ia tidak menghalangnya daripada menanam tanaman untuk membantu mengurangkan kos sara hidup.
“Malah, ramai orang telah mula berkebun di rumah sendiri. Rakan-rakan saya yang cadangkan, kerana mereka berkata ia dapat bantu kurangkan perbelanjaan dapur,” katanya.

Suriani berkata, dia hanya menanam sayur-sayuran yang boleh dimakan oleh keluarganya seperti mustard, bayam, dan cili, dan sejak memulakan projek ini, perbelanjaan dapurnya berkurang 10% hingga 20%.
Bagi Fariz Rizwan pula, beliau mula berkebun kerana ingin menyibukkan dirinya.
Pada mulanya, beliau tidak serius mengenainya dan hanya menanam pokok hiasan kerana unit pangsapurinya di Ampang, Selangor, mempunyai ruang terhad.
Tetapi ia mula berubah apabila Fariz menggunakan teknik hidroponik.
Hidroponik adalah subset hidrokultur, yang merupakan kaedah tumbuh tumbuhan tanpa tanah sebaliknya menggunakan nutrien mineral dalam pelarut air.
“Saya pertama kali membaca mengenai tumbuhan hidroponik dua tahun lalu dan terpesona dengan kaedah ini.
“Jadi saya mula menanam sayuran seperti mustard, bayam, cili. Eksperimen saya berlangsung selama empat minggu dan kemudian terus bertambah baik, “katanya.
Beliau berkata perbelanjaan barangan runcitnya mula berkurangan akibat tanaman hidroponiknya.
Malah, beliau menanam makanan sendiri kerana mempunyai manfaat kesihatan selain dapat mengurangkan kos sara hidup.
“Cabai merah pada harga pasaran berharga RM12 sekilogram tetapi sekarang ini jarang sekali saya beli cabai di pasar,” katanya.
“Yang paling penting saya tidak bimbang tentang sayur-sayuran yang disembur dengan bahan kimia atau tidak,” katanya.

Fariz berkata bahawa trend hidroponik bermula sekitar 2000 kerana konsep tidak menggunakan tanah.
“Sejak kenaikan harga barang secara tiba-tiba ramai orang menggunakan hidroponik.
“Ia amat mudah bagi mereka yang tidak mempunyai banyak tanah atau tinggal di pangsapuri,” katanya.
Selain itu wujud juga persatuan yang mengerakkan projek pertanian dalam bandar seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
CAP promosi berkebun dalam bandar
Projek pertanian dalam bandar telah lama diusahakan CAP sejak 14 tahun lepas.
Projek itu berperanan memberi latihan dan sebagai rujukan kepada peserta bercucuk tanam kata pegawai pendidikannya Saraswathi Devi.
Katanya sejak projek itu dilaksanakan kefahaman peserta mengenai konsep pertanian dalam bandar menjadi lebih baik.
“Kebanyakan yang datang kelas tidak hanya datang sekali tapi mereka akan konsisten datang.
“Mereka selalu pergi dekat kita untuk tanya, maksudnya peserta benar-benar mengamalkan bercucuk tanam hasil ilmu yang diperolehi dari kelas yang diadakan ini,” katanya.
Beliau berkata projek itu mendapat sambutan baik dan ia dapat dilihat dengan pertambahan bilangan peserta setiap kali kelas diadakan.
“Dengan adanya kelas itu maka peserta dapat berkongsi pengetahuan antara mereka,” katanya. – 2 September, 2019.
Komen