Tidak pilih pekerjaan, pemuda 26 tahun cadang buka kilang jeruk


Zaim Ibrahim

Jeruk Junjong Madu Kelulut jadi punca rezeki Ahmad Takiyuddin Jamaluddin. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

SEORANG graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tekad memberanikan diri memilih berniaga jeruk ketika ramai yang sebaya dengannya masih berharap makan gaji di pejabat yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Ahmad Takiyuddin Jamaluddin, 26, yang berpengalaman dalam hal ehwal perniagaan jeruk sejak habis sekolah, mula mengusahakan jeruk di rumahnya sendiri lima tahun lalu dan sekarang merancang untuk membuka kilangnya sendiri.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya bekerja di sebuah kilang jeruk. Ketika sambung pengajian di UiTM, setiap kali cuti semester saya bekerja di kilang sama secara separuh masa.

“Habis diploma, saya bekerja secara sepenuh masa dengan gaji RM900 sebulan di kilang itu.

“Walaupun gaji kecil dan saya graduan universiti, saya tidak kisah kerana saya lebih pentingkan pengalaman bekerja,” kata bapa dua anak itu kepada The Malaysian Insight.

Takiyuddin, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, membuka perniagaan dengan jenama Jeruk Junjong Madu Kelulut hanya setahun selepas menimba pengalaman bekerja dengan orang.

“Dengan pengalaman yang saya ada, saya optimis untuk memulakan perniagaan jeruk.

“Saya selalu terfikir, di kilang lain saya sentiasa ‘all-out’. Kalau boleh ‘all-out’ dengan perniagaan sendiri, itu lebih berbaloi,” jelas lulusan diploma pentadbiran awam ini.

Ahmad Takiyuddin Jamaluddin, 26, mula mengusahakan jeruk di rumahnya sendiri lima tahun lalu dan sekarang merancang untuk membuka kilangnya sendiri. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Menggunakan pengalaman dan didikan ketika bekerja di kilang jeruk, beliau melaburkan wang simpanannya sebanyak RM20,000 untuk memulakan perniagaan.

Dalam usia perniagaan lima tahun, Takiyuddin berkata beliau tidak mahu terburu-buru mengejar untung semata-mata sebaliknya tidak mengabaikan usaha mengukuhkan kewangan syarikat dan meningkatkan kualiti jeruk.

“Saya utamakan untuk dapatkan sijil-sijil utama seperti Halal dan MeSTI (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan)

“Hasil keuntungan pula, saya labur untuk membeli kemudahan seperti mesin-mesin yang diperlukan dan tambah baik infrastruktur kilang,” katanya, yang kini merancang untuk memantapkan strategi pemasarannya.

Menurut Takiyuddin, perniagaannya kini juga berkembang dengan baik dengan pendapatan sehingga RM30,000 sebulan. 

Daripada beroperasi di rumah, perniagaan jeruknya kini menyewa sebuah kilang  di bawah agensi kerajaan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan beliau sedang dalam rancangan membangunkan kilangnya sendiri yang dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang lima tahun akan datang.

Perniagaan Takiyuddin dibantu oleh isterinya dan beliau kini menggaji lima orang kakitangan.

Perniagaan jeruk kini juga berkembang dengan baik dengan pendapatan sehingga RM30,000 sebulan. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Jeruk madu kelulut

Menyedari nilai keunikan perlu wujud dalam setiap penjenamaan, beliau mengambil langkah berani cuba menggunakan madu kelulut sebagai bahan utama dalam jeruknya.

Percubaan itu membuahkan hasil kerana, jenamanya setakat ini dapat diperluaskan ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, penggunaan madu kelulut yang mempunyai rasa yang masam dapat mengurangkan penggunaan asid dan cuka dalam jeruknya.

“Kelebihan madu kelulut adalah pada aspek kesihatan makanan. Rasa asal buah juga dapat dikekalkan.

“Kita juga menggunakan cuka epal bukan cuka lain, kerana ia lebih berkhasiat,” katanya lagi.

Perusahaan jeruk jadi tumpuan dan minat seorang anak muda di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Cabaran berniaga

Ditanya cabaran yang beliau tempuh sepanjang lima tahun terjun berniaga, Takiyuddin berkata beliau pernah hampir putus asa selepas usaha awalnya menanggung kerugian sehingga RM40,000.

“Saya buka sebuah kedai di Selayang, Selangor pada 2017 untuk teroka pasaran di sana. Tetapi, tak bertahan lama kerana tiada pelanggan dan rugi RM40,000.

“Ada rasa mahu mengalah, rasa kecundang, tetapi saya dapatkan nasihat mentor-mentor untuk dapatkan ‘jalan’,” jelas beliau.

Daripada pengalaman itu, Takiyuddin berkata beliau belajar ilmu yang berguna untuk terus maju dalam perniagaan – mahirkan diri dengan pengurusan kewangan dan yakinkan pengguna terhadap barangan.

“Sebab itu saya tidak mahu terburu-buru dapatkan keuntungan lebih tinggi kerana ia melibatkan pelaburan besar. 

“Saya mahu orang kenal dahulu jenama ini,” katanya.

Takiyuddin tidak menyesal dengan jalan hidup yang dipilihnya kerana beliau tidak mahu berlama-lama duduk kosong hanya menunggu pekerjaan sebaliknya sekarang sudah mencipta pekerjaan untuk orang lain.

Ahmad Takiyuddin Jamaluddin menyewa sebuah kilang Perda dan beliau sedang dalam rancangan membangunkan kilangnya sendiri yang dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang lima tahun akan datang. – Gambar The Malaysian Insight, 29 September, 2019.

Pengalaman

Kepada golongan muda yang masih belum dapat pekerjaan yang mereka idamkan, Takiyuddin berharap mereka tidak segan untuk menimba pengalaman dalam apa juga bidang berkaitan.

“Tetapkan dahulu perjalanan karier, contohnya, apa yang kita mahu untuk lima tahun akan datang?

“Sekalipun tidak dapat pekerjaan diidamkan, kerja dahulu dalam bidang berkaitan untuk dapatkan pengalaman dan peluang akan datang bila-bila waktu nanti,” jelasnya.

Kepada anak muda yang ingin mencebur diri dalam bidang perniagaan, beliau menasihatkan mereka agar jangan terlalu mengidamkan kekayaaan sebaliknya harus bersiap sedia membina asas perniagaan dahulu.

“Kalau jatuh pun, kita masih boleh bangkit kerana asasnya kita dah kuat,” katanya. – 29 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Terima kasih wartawan lokasi sudi utk menemubual dan melaporkan cerita saya

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ahmad Taqiuddin · Ulasan