Rundingan semula ECRL masih boleh dilakukan, kata Jomo 


Ragananthini Vethasalam

Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram percaya rundingan semula projek ECRL masih boleh dibuat di antara Malaysia dan China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2019.

Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram mengulangi pendiriannya bahawa pertimbangan nasional serta hubungan baik antara Malaysia dan China akan membolehkan kedua-dua negara membuka semula rundingan mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Jomo berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai pertimbangan nasional dan kerana itu beliau percaya rundingan semula masih boleh dibuat terutamanya melibatkan pendirian tegas Presiden Xi Xinping terhadap isu rasuah.

Lim berkata adalah sukar untuk membatalkan projek ECRL kerana terdapat pertimbangan nasional terlibat dalam projek berkenaan.

Menteri Kewangan itu berkata, keseluruhan projek itu telah dirundingkan semula dengan kerajaan China dan mereka telah bersetuju untuk membatalkan saluran paip pelbagai produk dan menundanya atau merunding semula harga ECRL.

Minggu lepas ahli ekonomi terkenal Prof Jomo Kwame Sundaram berkata Putrajaya tidak mempunyai sebab untuk meneruskan ECRL selepas terbongkar yang projek itu digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 

“Tetapi saya fikir apa yang dikatakan Datuk Amhari (bekas pegawai khas Najib Razak) itu jelas, bukan kerajaan sekarang yang terlibat, malah pemimpin kerajaan terdahulu juga tidak tahu apa yang berlaku.

“Jadi pada dasarnya kita ada beberapa orang yang mengambil kesempatan,” katanya.

Jomo berkata beliau percaya kerajaan Xi tidak mahu dikaitkan dengan isu-isu berkenaan, oleh itu ada kemungkinan untuk membuka semula rundingan itu dengan syarat ia dilakukan dengan betul.

“Saya tidak dibenarkan bercakap (atau) pergi dan berunding untuk kerajaan Malaysia tetapi saya fikir ada ramai yang lebih berwibawa di negara ini, yang berpengalaman, yang boleh berunding tanpa memalukan China.

“Saya tidak fikir kerajaan China atau kepimpinan parti mahu dikaitkan dengan dengan isu itu,” katanya. – 25 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen