PUTRAJAYA kini tidak ada sebab untuk meneruskan komitmennya kepada projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selepas terbongkar yang projek itu digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata pakar ekonomi ternama Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan 1MDB minggu lepas.
Dalam keterangan saksinya, Amhari mendakwa ECRL adalah salah sebuah projek yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Jomo berkata pendedahan Amhari itu sepatutnya “membongkar semula semua perkara” berkaitan ECRL, walaupun mengakui keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk menyambung semula projek itu dengan skala lebih kecil dibuat sebelum keterangan bersaksi itu.
“Saya pasti Presiden Xi Jinping yang sangat tegas tentang korupsi di China kini tidak mahu dikaitkan dengan apa sahaja jenis korupsi…korupsi antarabangsa, yang juga akan memusnahkan reputasi inisiatif Jalur dan Jalan China,” kata Jomo kepada wartawan selepas hadir sebuah forum tentang Belanjawan 2020 anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) hari ini.
“Saya rasa kita ada peluang besar untuk membuka semula semua persoalan. Saya pasti ini masanya untuk kita tidak memberikan komitmen (meneruskan ECRL),” katanya lagi.
Jomo menambah pengurangan jumlah kos sebanyak RM44 bilion projek ERL bukanlah jumlah yang besar, walaupun ia sudah diturunkan berbanding kos asal mencecah RM66 bilion.
ECRL disambung semula pada April selepas ditangguhkan pada Julai, selepas rundingan semula antara Putrajaya, China Communications Construction Company Ltd dan Beijing berjaya dilakukan.
“Kini kita ada pendedahan penting tentang sebab musabab ECRL dilakukan.
“Tiada sesiapa yang menolaknya dan pastinya Shafee (Abdullah) yang menyoal saksi, tidak mencabar keterangan dibuat saksi,” tambah Jomo merujuk kepada peguam utama Najib.
Katanya lagi, disebabkan kaitan projek itu dengan korupsi, akan ada jalan penyelesaian terbaik sekiranya Malaysia menghubungi kerajaan China dengan maklumat baharu itu.
“Kerajaan baharu tidak boleh melindungi tindakan kerajaan dan pemimpin terdahulu,” katanya lagi.
Sekiranya ia diteruskan, ECRL akan menjadi “beban kekal” kerana Putrajaya perlu terus memberikan subsidi kepada projek yang dijangka kurang bermanfaat itu, kata Jomo yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan dibentuk PH selepas berkuasa tahun lepas. – 19 September, 2019.
Komen