LANGSUNG: Najib, pengarah 1MDB setuju tidak patuhi permintaan ketua audit, kata saksi


Bede Hong Noel Achariam

Bekas CEO TIA Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Jabatan Audit Negara hantar surat pada Oktober, 2010 berkenaan audit 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 September, 2019.

PERBICARAAN kes 1MDB melibatkan Najib Razak masuk hari ke-13 dengan saksi kesembilan pendakwaan, bekas CEO Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan.

Semalam, Shahrol memberitahu mahkamah yang Najib mengarahkan TIA meneruskan penjanaan RM5 bilion menerusi ‘Nota Jangka Sederhana Islam pada 2009, walaupun dilarang oleh Sultan Mizan Zainal Abidin yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong.

Arahan itu diberikan pada 22 Mei 2009 menerusi penasihat khas TIA Low Taek Jho yang berkata pengeluaran bon itu perlu diteruskan walaupun terdapat bantahan daripada pemegang kepentingan TIA.

Sebelum itu, Shahrol bersama-sama bekas pengarah TIA Ismee Ismail menghadap Sultan Mizan di Istana Terengganu. Sultan Mizan menuntut kedua-dua mereka menandatangani resolusi untuk menangguhkan pengeluaran bon tersebut.

Shahrol kemudian diberitahu bekas pengarah eksekutif TIA Casey Tang dan bekas pengurus perhubungan pelanggan AmBank Joanna Yu bahawa pengeluaran bon tidak boleh dihentikan kerana ia menerima kelulusan Lembaga Pengarah dan ada bon sudah dijual.

Saksi juga memberitahu bahawa beliau dimaklumkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas yang Low memilik dua syarikat berpangkalan di Singapura dan Hong Kong yang membeli bon tersebut.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram. Beliau berdepan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Shahrol berkata Low- mesra dengan nama Jho Low- berperanan sebagai “perancang” operasi 1MDB bagi pihak Najib.

Katanya, Low menggalakkan eksekutif 1MDB “untuk bekerja dalam silo” dan maklumat hanya diberikan berasaskan “keperluan untuk tahu”.

“Jho Low kata ini adalah untuk melindungi kepentingan Najib,” kata saksi kepada mahkamah.

Bekas perdana menteri Najib Razak bersalaman dengan penyokongnya di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika hadir perbicaraan kes 1MDB membabitkan dirinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 September, 2019.

Pemimpin berusia 66 tahun itu dibela oleh sekumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menerajui pihak pendakwaan dan Hakim Collin Lawrence Sequerah mendengar perbicaraan. – 25 September, 2019.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

4.36pm: Perbicaraan ditangguhkan.

4.35pm: Sri Ram bertanya Shahrol jika AS$700 juta diberi kepada Goodstar menghasilkan sebarang manfaat kepada 1MDB.

Shahrol berkata tidak.

Sri Ram bertanya jika AS$300 juta kepada PSI Cayman menghasilkan sebarang pendapatan kepada 1MDB.

Shahrol berkata tidak.

4.28pm: Sri Ram terus menyoal Shahrol berhubung usaha sama itu.

Shahrol berkata Jho Low mengatur usaha sama sejak awal dan percaya Najib yakin terhadap Jho Low untuk menangani isu PSI dan 1MDB.

Beliau mengatakan dalam tempoh Oktober 2009 hingga Februari 2010, beliau dan Tang mencari maklumat mengenai usaha sama untuk tujuan audit.

Shahrol berkata mereka gagal mendapatkan maklumat mencukupi untuk diberikan kepada juruaudit EY, kerana mereka gagal mendapatkan kerjasama daripada Mahoney dan Obaid.

Shahrol berkata Mahoney dan Obaid tidak berminat melayan mereka dilihat lebih cenderung untuk berkomunikasi dengan Jho Low sahaja.

3.49pm: Sri Ram bertanya Shahrol mengapa beliau tidak berunding dengan lembaga pengarah mengenai transaksi itu.

Shahrol berkata mereka berada di bawah tekanan untuk menandatangani perjanjian usaha sama dan terpaksa menyempurnakan sebelum 30 September 2009.

Beliau berkata ada e-mel dan sistem pesanan Blackberry (BBM) antara beliau, Mahoney, Low dan Tang.

Sri Ram: Sehingga bila.

Shahrol: Sehingga transaksi selesai.

Sri Ram: Adakah Najib tahu mengenai transaksi itu?

Shahrol: Tidak.

3.31pm: Sri Ram terus menyoal Shahrol mengenai transaksi kepada PSI.

Shahrol berkata Bakke marah kepadanya dan pengurusan termasuk Tang berhubung transaksi itu.

Beliau berkata Bakke memberitahu mereka untuk mendapatkan semula AS$700 juta daripada PSI kerana ia tidak dimasukkan ke dalam akaun yang sah iaitu usaha sama 1MDB PetroSaudi.

3.23pm: Sri Ram bertanya Shahrol mengenai usaha sama 1MDB dan Pertrosaudi.

Shahrol berkata selepas semua proses usaha sama berjaya, beliau memanggil mesyuarat lembaga pengarah untuk memaklumkan status semasa usaha sama itu.

Mesyuarat lembaga pengarah diadakan pada 3 Oktober 2009 yang dipengerusikan oleh Bakke dan dihadiri oleh semua ahli lembaga pengarah.

Beliau berkata melaporkan status semasa usaha sama dengan 1MDB membayar pegangan sebanyak AS$1 bilion di bawah dua pembayaran sebanyak AS$700 juta setiap satu ke akaun Good Star Ltd kepada PSI dan juga AS$300 juta kepada akaun usaha sama 1MDB dan PetroSaudi.

Shahrol berkata Bakke meminta alasan mengapa AS$1 bilion disalurkan terus ke akaun usaha sama 1MDB PetroSaudi.

Beliau berkata ia berdasarkan maklum balas daripada Low.

3.01pm: Sri Ram bertanya Shahrol adakah sesiapa memberi kuasa kepada Tang untuk membuat perjanjian (dengan Goodstar).

Shahrol berkata tidak.

Sri Ram bertanya sama ada salah seorang daripada lembaga pengarah memberi persetujuan.

Beliau berkata tidak.

Shahrol juga mengesahkan perjanjian ini tidak pernah dibentangkan di mana-mana mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan tidak melihat dokumen itu.

2.57pm: Sri Ram bertanya Shahrol mengenai dokumen yang melibatkan Good Star Limited dan 1MDB.

Shahrol berkata tidak tahu apa-apa mengenainya dan tidak pernah mengarahkannya dan tidak pernah meminta Casey Tang menandatangani sebarang perjanjian dengan Good Star.

Beliau berkata Tang hanya diberikan mandat menguruskan pertukaran asing seperti transaksi dengan Deutsche Bank (Malaysia) Berhad bagi transaksi AS$1 bilion melalui DCR bertarikh 26 September 2009.

Shahrol berkata sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai CEO 1MDB, beliau tidak melaksanakan sebarang urusan perniagaan bagi pihak Good Star Limited.

2.42pm: Perbicaraan bersambung semula.

12.53pm: Perbicaraan berhenti rehat.

12.23pm: Sri Ram bertanya Shahrol tentang surat dari Ernst & Young (EY) dengan cadangan untuk menyediakan kertas perbincangan berkenaan kerjasama antara 1MDB dan PetroSaudi International (PSI).

Shahrol berkata beliau nampak dokumen berkenaan pada masa itu tetapi tidak terbabit dalam perbincangan dengan EY seperti dinyatakan dalam surat itu.

Katanya, wakil 1MDB ialah Kelvin Tan dan Vincent Koh, dan tujuan surat berkenaan ialah melantik EY sebagai penasihat cukai bagi perjanjian kerjasama berkenaan.

Saksi berkata mesyuarat lembaga pengarah khas dijadualkan pada 18 September, 2009.

Shahrol berkata sebagai persediaan peribadi, beliau minta Low memaklumkan kepadanya tentang keseluruhan projek itu.

Katanya, Low memberitahunya tentang perkara penting yang perlu diketahuinya dan bagaimana menjawab soalan yang mungkin ditanya oleh lembaga pengarah.

11.45am: Sri Ram bertanya Shahrol tentang surat 1MDB kepada Najib pada 22 Disember, 2010 berkenaan permintaan audit dari pejabat ketua audit negara.

Shahrol berkata dalam surat itu, beliau memberitahu Najib berkenaan dokumen tambahan yang diminta oleh pasukan audit.

Saksi berkata lembaga pengarah diluluskan oleh Najib sendiri bersetuju untuk tidak memberikan maklumat tambahan diminta oleh ketua audit negara.

11.37am: Mahkamah kembali bersidang.

11.12am: Mahkamah berhenti rehat.

11.08am: Shahrol berkata Jabatan Audit Negara menghantar surat kepadanya bertarikh 5 Oktober, 2010 berkenaan audit terhadap 1MDB.

“Ini surat dari Jabatan Audit Negara kepada saya berkenaan dengan Pengauditan Due Diligence ke atas 1MDB – maklumat dan dokumen sokongan. Di dalam kandungan surat ini menyatakan pihak Jabatan Audit Negara meminta salinan dokumen yang terlibat dengan pengauditan.

Beliau berkata surat itu dikeluarkan oleh Yusnani Zakaria bagi mewakili ketua audit negara diberikan kepadanya selaku CEO 1MDB.

10.44am: Sri Ram tanya Shahrol tentang surat kepada Najib berkenaan perkembangan 1MDB dan kelulusan, serta audit terhadap 1MDB.

Shahrol berkata audit akan menjadi risiko politik untuk Najib, dan mendapatkan nasihatkan daripada Najib menerusi Low.

“Nasihatnya ialah tidak perlu usaha wajar atau pelaksanaan audit.”

Shahrol berkata ia kerana Ernst & Young sudah dilantik dan ia akan menghantar laporan audit kepada Kementerian Kewangan apabila siap.

10.28am: Sri Ram bertanya Shahrol tentang pertukaran nama daripada TIA kepada 1MDB.

Shahrol berkata resolusi pengarah TIA diluluskan selepas EGM pada 4 September, 2009 di mana termasuk perubahan nama daripada TIA kepada 1MDB.

“Sebelum nama 1MDB dimuktamadkan, saya minta setiausaha syarikat melihat beberapa nama yang dicadangkan seperti 1Malaysia Development Berhad, MDB Wealth Berhad, Malaysia Development Berhad dan Malaysia Wealth and Capital Creation Berhad.

“Tetapi nama itu tidak dibenarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana ada perkataan terkawal. Saya kemudian menerima surat sokongan daripada Najib untuk mengesahkan penggunaan nama 1MDB supaya ia boleh didaftarkan dengan suruhanjaya itu.”

10.16am: Sri Ram bertanya Shahrol tentang AS$1 bilion dalam akaun 1MDB.

Shahrol berkata wang itu untuk pelaburan TIA pada 30 September, 2009.

Katanya, selepas menukarkannya kepada ringgit, 1MDB mempunyai RM3.3 bilion, dan digunakan untuk membuat bayaran bagi bon RM5 bilion.

Saksi berkata kupon bayaran dibuat setiap enam bulan, biasanya RM100 juta setiap satu.

10.05am: Sri Ram bertanya Shahrol tentang surat pelantikannya.

Shahrol berkata surat pelantikan sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB dikeluarkan oleh Najib pada 17 September, 2009, dibuat oleh perdana menteri mengikut syarat Artikel 68 M&A 1MDB.

9.53am: Mahkamah mula bersidang.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen