Najib arah terbitan bon TIA RM5 bilion walaupun Agong bantah, kata saksi


Bede Hong Alfian Z.M. Tahir

Bekas ketua pegawai eksekutif TIA Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Najib Razak arah terbitan IMTN untuk TIA diteruskan pada 2009. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 September, 2019.

NAJIB Razak mengarahkan Terengganu Investment Authority (TIA) meneruskan penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion pada 2009, walaupun Yang Di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin pada masa itu mengarahkan berbuat sebaliknya, kata saksi dalam perbicaraan kes 1MDB hari ini.

Bekas ketua pegawai eksekutif TIA Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa arahan itu diberikan menerusi penasihat khas TIA, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low pada 27 Mei, 2009.

“Saya dimaklumkan oleh Jho Low menerusi telefon bahawa kami perlu ikut arahan Najib, diberikan kepada kami sebelumnya pada malam 22 Mei, 2009 iaitu penerbitan IMTN perlu diteruskan, walaupun ada bantahan daripada pemegang saham yang lain,” kata saksi.

Shahrol dan bekas pengarah TIA Ismee Ismail menandatangani perjanjian penerbitan bon itu bersama AmInvestment pada 27 Mei, 2009.

Dua hari kemudian, TIA menerima RM4.385 bilion dalam hasil bersih. Saksi memberitahu mahkamah jumlah itu berkurangan kerana fi dan kos lain, di mana beliau tidak ada butiran terperincinya.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.

Sultan Mizan membantah terbitan bon itu

Seminggu sebelum itu, pada 22 Mei, 2009 Shahrol berkata beliau menerima “makluman secara mengejut” dari Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

“Saya dititahkan oleh Sultan Mizan hadir ke Istana Terengganu bersama Ismee untuk menghadap baginda dengan seberapa segera.

“Saya ke Istana Terengganu selepas solat Jumaat. Sebaik saja sampai, saya dan Ismee dibawa ke bilik mesyuarat, kemudian disusuli oleh Sultan Mizan dan Tengku Rahimah Sultan Mahmud,” katanya.

Di bilik mesyuarat itu, Shahrol dan Ismee ditunjukkan dokumen resolusi oleh Sultan Mizan.

Katanya, baginda menunjukkan dokumen resolusi ditandatangani oleh Tengku Rahimah.

“Seingat saya, baginda bertitah ‘Please sign this resolution, you can read it if you want’,” katanya.

Dokumen itu ialah resolusi menggantung kuasa dan kuasa Shahrol, Ismee dan eksekutif lain daripada bertindak terhadap terbitan bon itu. Resolusi itu meminta penggantungan serta-merta terbitan bon yang dicadangkan itu.

“Saya tergamam dan dapat rasa sesuatu tidak kena dengan intonasi Sultan Mizan yang nampak murka. Saya memandang ke arah Ismee, dan tidak berkata apa-apa cuma tertanya-tanya kenapa baginda murka dan meminta saya menandatangani resolusi itu.

“Saya terkejut kerana sebelum itu Low memaklumkan kepada saya Sultan Mizan tiada halangan meneruskan terbitan IMTN ini,” kata saksi.

Shahrol berkata pada mesyuarat itu Sultan Mizan menggunakan frasa ”unsavoury character” tetapi beliau tidak pasti frasa ini merujuk kepada siapa.

“Saya tidak tahu punca sebenar perbalahan antara pemegang kepentingan TIA pada masa itu. Selepas keluar dari Istana Terengganu, saya bertanya kepada Ismee tindakan seterusnya.

“Beliau meminta saya untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Low dan Najib. Saya terus menelefon Low dan memaklumkan apa yang berlaku,” kata saksi.

Katanya, Jho Low kemudian meminta Shahrol datang ke rumah Najib di Langgak Duta pada malam itu, 22 Mei, 2009.

Shahrol berkata beliau dimaklumkan oleh pengarah eksekutif TIA Casey Tang bahawa terbitan bon itu tidak boleh dihentikan kerana perjanjian sudah ditandatangani.

Pengurus AmBank Joanna Yu turut memaklumkan Shahrol sebahagian bon itu telah dibeli semasa tempahan dan ia dikira melanggar perjanjian yang sudah dimeterai.

Pertemuan di rumah Najib

Pada malam itu, Shahrol ke rumah Najib, di mana Jho Low turut sama menunggu. Menjawab soalan Najib, Shahrol berkata beliau tidak tahu kenapa agong murka dan beliau tidak menerima salinan resolusi yang ditandatangani itu.

Selepas memberitahu Najib, bekas perdana menteri itu berkata: “You go ahead, I will talk to Tuanku”.

“Saya menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada perdana menteri merangkap menteri kewangan untuk meneruskan IMTN kerana beliau menteri bertanggungjawab memberikan jaminan kerajaan tersebut.

“Low juga mendengar arahan tersebut. Selepas itu saya terus pulang manakala Low masih lagi tinggal di rumah Najib,” kata saksi. – 24 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen