DASAR merangsang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertaraf dunia menerusi “strategi payung” tidak boleh dibuat berasaskan kaum, kata seorang pakar ekonomi politik terkenal susulan cubaan mengembalikan semula langkah itu.
Prof Dr Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya memberitahu The Malaysian Insight yang pendekatan berasaskan kaum dalam strategi payung digunakan Putrajaya adalah sebab kegagalannya membantu PKS pada era 80-an dan 90-an.
Gomez berkata bukti kegagalan pendekatan ini boleh dilihat pada Proton, projek kereta nasional yang model awalnya terkenal dengan komponen rendah kualiti.
Gomez adalah ahli akademik yang banyak membuat kajian tentang hubung kait antara politik Malaysia dan perniagaan, serta strategi kerajaan untuk merangsang sektor swasta supaya setanding dengan Jepun dan Korea Selatan.
Amaran itu dikeluarkan ketika Anwar Ibrahim yang dijangka menjadi perdana menteri seterusnya, mahu mengembalikan semula strategi payung bagi merangsang pertumbuhan PKS.
Anwar mendakwa strategi payung berjaya menyuburkan PKS ketika beliau menjadi menteri pada 1983 hingga 1998.
Strategi itu yang digunakan di seluruh dunia, menghubungkan beberapa syarikat kecil dengan syarikat besar. PKS akan mengeluarkan komponen atau menyediakan perkhidmatan untuk produk utama syarikat besar tersebut.
Konsep payung ini diinspirasi daripada sistem “keretsu” di Jepun dan “chaebols” di Korea Selatan.
Gomez berkata strategi payung ini memang boleh membantu pembangunan PKS yang membentuk 98% daripada jumlah syarikat di sektor swasta.

Tetapi, masalah pelaksanaan di Malaysia adalah ia tidak memberi tumpuan kepada aspek kecekapan dan persaingan, tambahnya.
Dalam kes Proton misalnya, PKS Bumiputera diberikan keutamaan menjadi vendor untuk membekalkan pembuat kereta itu dengan komponan seperti tayar, kerusi dan alat ganti.
“Semua benda kecuali enjin dibuat dalam negara. Hanya enjin dari Mitsubishi Jepun,” kata Gomez merujuk kepada rakan kerjasama Proton itu.
“Dan semua benda kecuali enjin rosak,” kata Gomez kepada The Malaysian Insight kerana sistem pembangunan vendor yang digunakan untuk memilih pembekal komponen tersebut.
Boleh jadi seperti Hyundai
Vendor Bumiputera Proton dipilih kerana warna kulit mereka dan bukannya kemampuan serta pengetahuan pengeluaran komponen kereta, kata Gomez.
Dalam buku dikeluarkan pada 2013 bertajuk “The New Economic Policy in Malaysia”, Gomez menulis keputusan memilih Bumiputera dibuat kerana kerajaan mahu menggunakan program vendor untuk membantu pertumbuhan PKS Bumiputera.
Tetapi, hasilnya teruk kerana sistem vendor terbukti gagal memperkasa syarikat Bumiputera dalam industri kereta, tulis Gomez dalam bab bertajuk “Nurturing Bumiputera Capital”.

PKS bukan Bumiputera yang berpengalaman dalam menghasilkan komponen untuk pembuat kereta lain tidak dipilih Proton, kata Gomez, menambah ia seterusnya membantutkan kejayaan syarikat pengeluar kereta nasional itu.
Sekiranya, Proton memilih vendor berdasarkan kemampuan dan bukannya kaum, ia sudah boleh menjadi seperti Hyundai dari Korea Selatan, katanya.
“Anwar bercakap tentang idea lama yang berkesan di peringkat antarabangsa tetapi bila di Malaysia, ia tidak berjaya. Jadi, Anwar perlu bertanya mengapa ia tidak berkesan di sini?
“Ini adalah bukti yang apabila anda mempunyai pemayungan terpilih, bila perniagaan sasaran bukan berdasarkan kemampuan mereka untuk mengeluarkan dan keupayaan mereka untuk bersaing, tetapi berdasarkan kaum mereka, benda akan jadi tak betul.” – 25 September, 2019.
Komen