AHLI Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan semula “konsep payung” untuk membantu syarikat kecil.
Anwar berkata, konsep yang diamal ketika beliau menjadi menteri kewangan itu mensyaratkan syarikat besar mengagihkan projek tersebut kepada syarikat kecil yang berkemampuan.
Jelasnya, syarikat besar yang mendapat kontrak tersebut akan bertindak sebagai pemantau kepada syarikat kecil tersebut bagi menjaga kualiti produk dan perkhidmatan.
“Umpamanya kita pergi kepada syarikat Guthrie. Melalui konsep payung, Guthrie cari 60 syarikat-syarikat kecil ini yang boleh buat mengikut spesifikasi.
“Yang akan pantau bukan jabatan kerajaan tetapi syarikat yang diberi kontrak. Maknanya daripada satu syarikat, kita bagi juga kepada 60 syarikat kecil dan sederhana yang juga majoritinya kebetulan Bumiputera untuk membantu,” katanya.
Anwar mencadangkan demikian dalam dialog “Pemberdayaan Ekonomi Umat” sempena Halfest di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan, hari ini.
Katanya, konsep itu boleh direalisasikan melalui program sarapan percuma kepada murid sekolah yang akan dilaksana Kementerian Pendidikan bermula tahun depan.
“Sekarang kita ada cadangan yang baik daripada Kementerian Pendidikan hendak beri makan kepada anak-anak sekolah.
“Kalau ini dilakukan, maka dengan sendirinya kita ada projek yang belanjanya mungkin ratusan juta setahun, tetapi yang akan mendapat serpihan faedah itu beribu-ribu orang di setiap daerah,” ujarnya.
Bermula Januari 2020, kerajaan akan menyediakan sarapan percuma buat semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping membantu memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran. – 8 September, 2019.
Komen