Bukan mudah batalkan projek ECRL, kata Guan Eng


Lee Chi Leong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata keseluruhan projek ECRL telah dirunding semula dengan kerajaan China dan bukan mudah untuk membatalkannya. – Gambar The Malaysia Inisght oleh Seth Akmal, 24 September, 2019.

BUKAN mudah untuk membatalkan projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) kerana terdapat pertimbangan nasional terlibat dalam projek berkenaan, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu berkata, keseluruhan projek itu telah dirundingkan semula dengan kerajaan China dan mereka telah bersetuju untuk membatalkan saluran paip pelbagai produk dan menundanya atau merunding semula harga ECRL.

“Saya rasa ini situasi menang-menang. Kita harus memahami ini melibatkan hubungan antara Malaysia dan China yang merupakan rakan dagangan terbesar.

“Oleh itu banyak pertimbangan nasional yang dipertaruhkan,” katanya hari ini selepas merasmikan Persidangan Perisikan Pasaran Pelancongan Kesihatan Malaysia di ibu negara hari ini. 

Minggu lepas ahli ekonomi terkenal Prof Jomo Kwame Sundaram berkata Putrajaya tidak mempunyai sebab untuk meneruskan ECRL selepas terbongkar yang projek itu digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin dalam perbicaraan 1MDB minggu lepas.

Dalam keterangan saksinya, Amhari mendakwa ECRL adalah salah sebuah projek yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Jomo berkata pendedahan Amhari itu sepatutnya “membongkar semula semua perkara” berkaitan ECRL, walaupun mengakui keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk menyambung semula projek itu dengan skala lebih kecil dibuat sebelum keterangan bersaksi itu.

“Saya rasa kita ada peluang besar untuk membuka semula semua persoalan. Saya pasti ini masanya untuk kita tidak memberikan komitmen (meneruskan ECRL),” katanya lagi.

Jomo menambah pengurangan jumlah kos sebanyak RM44 bilion projek ERL bukanlah jumlah yang besar, walaupun ia sudah diturunkan berbanding kos asal mencecah RM66 bilion. – 24 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen