KES tembakan mengorbankan tiga individu di Rawang yang dipersoalkan keluarga mangsa dan orang ramai akan diputuskan melalui inkues, kata Abdul Hamid Bador.
Ketua polis negara itu berkata, inkues akan dilakukan secepat mungkin memandangkan ramai yang memberi pelbagai kenyataan salah mengenai kejadian itu.
Beliau juga yakin bahawa pegawainya menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika operasi pada Sabtu lalu itu dilakukan.
“Kita telah memutuskan inkues akan dijalankan terhadap kes itu. Jadi kita tunggu, yang mengatakan itu dan ini akan dipanggil (sebagai saksi).
Sabtu lalu, polis menembak mati tiga individu di Batu Arang, Rawang, yang merupakan suspek kes samun.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata mereka tidak mahu memberhentikan kenderaan untuk diperiksa apabila diarahkan, membawa kepada adegan kejar-mengejar sebelum kereta suspek terbabas.
Kemudian, suspek melepaskan tembakan menyebabkan polis membalas tembakan dan ketiga-tiga mereka mati.
Polis juga merampas beberapa senjata, termasuk dua pistol semi-automatik dan tiga bilah parang.
Polis berkata, Janarthanan pernah terlibat dalam satu rompakan pada 2016 dan semakan Jabatan Imigresen menunjukkan, tiada rekod kemasukan individu itu ke Malaysia.
Anak beliau, Logitharan, 17, bagaimanapun mempunyai rekod yang kukuh menunjukkan bapanya tiba di Malaysia pada 27 Ogos lalu.
Pada 2016 juga, bapanya berada di Portsmouth, United Kingdom dan bukannya di Malaysia.
Keluarga itu juga menuntut polis menjelaskan lokasi isteri Janarthan, Moganambal Govindasamy yang didakwa berada bersama tiga individu tersebut semasa kejadian itu berlaku.
Menjawab persoalan itu, Hamid berkata beliau tidak akan menyembunyikan apa-apa mengenai kes tersebut.
Beliau juga yakin hanya melalui inkues, keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.
“Kita jalankan (inkues) dengan terbuka. Inkues ini tidak melindungi sesiapa.
Semua (persoalan) dibincang dan dikemukakan, ia adil bagi pihak polis dan keluarga mangsa,” tambah beliau.
Dua lagi suspek yang terbunuh adalah G. Thavaselvan, 31 dan S. Mahendran, 23. – 20 September, 2019.
Komen