KELUARGA Janarthanan Vijayaratnam mengemukakan dokumen yang didakwa menunjukkan warga Sri Lanka itu baru tiba di Malaysia pada 27 Ogos lalu.
Anaknya, Logitharan, 17, menunjukkan bukti tiket penerbangan pergi balik dan tag bagasi yang memaparkan nama bapanya, yang ditembak mati oleh polis hujung minggu lalu.
Ia bagi menyangkal kenyataan polis yang menyebut tiada rekod menunjukkan pemastautin tetap United Kingdom itu memasuki Malaysia.
“Kami sekeluarga termasuk bapa datang bersama pada 27 Ogos lalu tetapi macam mana polis boleh mendakwa tiada bukti dia masuk ke Malaysia.
“Kali terakhir kami datang ke Malaysia adalah pada 2013 dan selepas itu, baru sekarang kami kembali ke sini,” katanya.
Beliau juga menangkis kenyataan polis yang menuduh bapanya terlibat dalam rompakan pada 2016.
“Bagaimana bapa boleh merompak di Malaysia pada tahun 2016 apabila sepanjang enam tahun ini di berada di Portsmouth, United Kingdom,” kata Logitharan dalam sidang media.
Dakwanya, bapanya juga ada membayar cukai di United Kingdom dan mempunyai bukti untuk pembayaran itu juga.
Janarthan merupakan antara tiga individu yang ditembak mati selepas dikejar oleh polis di Batu Arang, Rawang.
Menurut Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin, tiga lelaki yang dipercayai aktif dalam kegiatam samun dan pecah rumah.
Azam dilaporkan berkata, warga Sri Lanka itu mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dilakukan pada tahun 2016.
Noor Azam berkata, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod kemasukan warga Sri Lanka berkenaan ke negara ini.
Katanya, Janarthanan pernah mengikuti program pemutihan oleh Jabatan Imigresen pada 2013 kerana menetap lebih masa.
Seorang lagi yang ditembak mati dinamakan keluarga tersebut sebagai adik ipar Janarthan, Thavaselvan Govindasamy.
Keluarga itu juga menuntut polis menjelaskan lokasi isteri Janarthan, Moganambal Govindasamy yang didakwa berada bersama tiga individu tersebut semasa kejadian tembak-menembak dengan polis.
Logitharan mempersoalkan mengapa polis masih tidak dapat mengesan Moganambal.
“Polis yang pandai mensabitkan bapa dengan satu kes jenayah kenapa masih gagal untuk mengesan mak saya.
“Emak saya keluar bersama bapa, pak cik dan rakan pak cik. Tiga lelaki itu sudah ditembak mati, apa nasib mak saya,” katanya.
Polis menafikan Moganambal berada bersama tiga lelaki tersebut semasa kejadian.
Kes tembak-menembak itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – 20 September Ogos, 2019.
Komen