LANGSUNG: Saksi kata rasa terancam dengan kerajaan sekarang dan dahulu


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi perbicaraan kes 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 September, 2019.

PERBICARAAN 1MDB melibatkan Najib Razak masuk hari ke-10 hari ini dengan bekas pegawai khas Amhari Efendi Nazaruddin kembali ke kandang saksi untuk disoal balas buat kali terakhir.

Ketua pasukan peguambela Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, beliau menjangkakan akan selesai dengan saksi kelapan pihak pendakwa hari ini.

Semalam, Amhari menafikan beliau melindungi Low Taek Jho, yang didakwa menyalahtafsir dirinya sebagai penasihat kerajaan pada 2008.
 
Shafee menuduh Amhari gagal memaklumkan pihak atasannya mengenai tindakan Low dan saksi gagal berbuat demikian kerana “rapat” dengannya. Amhari menafikan kedua-dua cadangan itu.

Amhari juga memberi keterangan bahawa beliau bersama ketua setiausaha peribadi Najib, Azlin Alias, dan Low bertemu dengan bekas pegawai bank BSI Yvonne Seah di Hotel Le Méridien di Singapura.

Seah, yang disabitkan pada akhir 2016, adalah antara individu pertama yang dipenjara kerana melakukan jenayah berkaitan skandal 1MDB.

Amhari juga memberitahu mahkamah beliau tidak sedar memerlukan pelepasan daripada bank pusat apabila menerima AS$200,000 (ketika itu bernilai kira-kira RM600,000) ke dalam akaun Maybank miliknya pada 2011.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam bela diketuai Shafee.

Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pasukan pendakwaan. Hakim Collin Lawrence Sequerah mendengar kes.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

4.41pm: Sri Ram memberitahu mahkamah saksi belum dibebaskan buat masa ini kerana mereka memerlukannya untuk sementara waktu pada Isnin pagi sebelum saksi seterusnya dipanggil.

Sequerah setuju. Mahkamah ditangguhkan sehingga Isnin pagi.

4.39pm: Sri Ram menamatkan soal balasnya.

4.27pm: Amhari berkata Arul Kanda pernah mempersoalkan kredibiliti Low kepada Najib dalam satu mesyuarat. Arul memberitahu Najib sama ada yang dijanjikan oleh Low betul atau tidak. Ia berhubung isu unit dana. Perkara ini dibangkitkan kepada Najib.

4.05pm: Mahkamah berhenti rehat.

4.00pm: Amhari kini menjelaskan mengenai AS$200,000 daripada Low.

Amhari: Pinjaman saya adalah daripada Bank Negara yang diberikan kepada kakitangan. Rumah lama saya bernilai RM260,000 hingga RM270,000. Nilai rumah baru saya di Kota Damansara ialah RM700,000.

Terdapat kawasan perumahan yang popular di Kota Damansara dan saya memutuskan untuk menjual rumah lama saya untuk membeli rumah baru. Jasi, ada baki sebanyak RM400,000 untuk rumah baru itu.

Saya menandatangani perjanjian pembelian rumah baru dengan bayaran pendahuluan 2%. Ejen itu memberitahunya beliau perlu mendapatkan pinjaman untuk rumah barunya. Saya yakin boleh menjual rumah lama saya dan mendapat rumah baru. Bank Negara tidak membenarkan saya membuat pinjaman kecuali saya menjelaskan semua pinjaman lain yang ada dengan mereka.

Amhari: Bank Negara mahu saya menyelesaikan pinjaman saya dengan mereka. Saya pergi kepada beberapa orang, Low sukarela meminjamkan wang kepada saya. Dengan pinjaman Low, saya membayar pinjaman dengan BNM iaitu RM300,000.

Selepas itu, saya sepatutnya membayar baki 8% bagi wang pendahuluan rumah baru saya. Bagaimanapun, saya diberitahu tidak boleh menjual rumah lama saya kerana ia lot Bumiputera. Saya mendapat bantuan firma guaman untuk menjual rumah ini dan ia ditolak pada 2012. Jumlah pembayaran yang saya buat melebihi pinjaman yang saya ambil daripada Low.

Beliau memberitahu Low tidak boleh membayar balik, tetapi Low memberitahunya “don’t worry, take your time”.

3.55pm: Sri Ram: Sekarang, saya ingin bercakap mengenai perjalanan ke New York. Berapa kali anda pergi?

Amhari: Dua atau tiga kali.

Sri Ram: Siapa yang mengiringi beliau (Najib)?

Amhari: Rosmah dan rombongannya yang lain.

Sri Ram: Adakah Low di sana?

Amhari: Kebanyakan masa ketika kami berada di New York atau London, beliau akan ada.

Sri Ram: Adakah anda melihatnya dengan perdana menteri?

Amhari: Beliau pernah membuat temu janji untuk bertemu dengan perdana menteri ketika berada di sana.

3.50pm: Sri Ram kini beralih kepada Rosmah.

Sri Ram: Di salah satu mesyuarat anda, Rosmah menelefon Low. Bagaimana anda tahu itu?

Amhari: Beliau mempunyai suara yang unik. Saya tahu ia adalah beliau kerana saya kenal dengan suaranya. Low juga memberitahu saya ia adalah beliau. Saya juga bercakap dengannya juga.

Sri Ram: Ingat ketika anda berkata yang Rosmah suakan Low. Bila kejadian itu?

Amhari: Ia ketika rakaman Hari Raya. Low tiada di sana. Saya tidak ingat bagaimana, saya berpeluang bercakap dengan Rosmah. Beliau menyebut namanya, saya kata mengenalinya dan Rosmah kata Low seorang yang sangat baik.

3.40pm: Amhari berkata perjalanannya di China sangat sukar disebabkan isu 1MDB. Beliau berkata sudah dimaklumi Low mempunyai kaitan dengan 1MDB. Ketika diminta pergi ke China oleh Najib, beliau setuju tetapi kemudian Najib memberitahunya Low akan menguruskan semua perjalanan.

Amhari: Ini adalah ketika saya berasa ragu-ragu. Ia sangat sukar. Saya tidak mahu dilibatkan  jika segala-galanya salah dengan 1MDB, saya mahu menjadi pegawai terbaik dan setia kepada Najib. Saya telah cuba yang terbaik.

Sri Ram: Dikatakan kepada anda yang ingatan anda sangat teruk. Tetapi ini satu peristiwa yang anda dapat ingat dalam kenyataan saksi anda. Apakah tujuan FAQ 1MDB?

Amhari: Ini adalah jawapan kepada soalan yang akan ditanya.

Amhari berkata kenyataan dalam FAQ mengenai penglibatan Low tidak benar.

3.35pm: Sri Ram: Anda bekerja dengan tertuduh ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri. Anda kata pernah berinteraksi dengan Low dan Najib. Apabila anda berinteraksi dengan Low, adakah ia pernah berlaku di dalam pejabat perdana menteri?

Amhari: Tidak. Kebanyakannya di luar pejabat. Kebanyakannya di Hotel Prince. Pada 2015, ketika Low meninggalkan negara, komunikasi dibuat melalui e-mel.

Sri Ram: Siapa yang meletakkan Low dalam kedudukan di mana beliau boleh mendekati tertuduh?

Amhari: Najib.

3.17pm: Sri Ram bertanya kepada saksi bagaimana sikap Sultan Terengganu terhadap Low apabila mereka mengadakan mesyuarat TIA.

Amhari berkata mesyuarat itu berlangsung dalam keadaan tidak rasmi.

3.08pm: Amhari mengatakan tiada ancaman peribadi daripada Najib kepadanya, tetapi sebagai perdana menteri, beliau mempunyai kuasa yang diperlukan untuk mewujudkan “ketidakstabilan”.

Sri Ram: Ketidakstabilan yang bagaimana?

Amhari: Beliau mempunyai kuasa melakukan sesuatu. Beliau mempunyai penyokong, penyokong yang boleh uruskan apa sahaja. Ketidakstabilan dalam hidup saya.

3.05pm: Amhari menerangkan ancaman yang dinyatakan dalam kenyataan saksinya: “Tidak kira apa yang saya lakukan, ancaman itu sentiasa ada. Saya terperangkap di tengah-tengah. Mana sahaja laluan yang saya ambil, akan ada ancaman. Saya beralih semula kepada agama saya dan memutuskan untuk memberitahu kebenaran.”

Sri Ram: Ancaman dari mana?

Amhari: Ia boleh jadi mana-mana pihak berkepentingan dalam perbicaraan ini.

Sri Ram: Salah satu pihak yang berkepentingan dalam kes ini ialah SPRM, adakah mereka mengancam anda?

Amhari: Tidak.

Sri Ram: Jadi siapa?

Amhari: Ia boleh menjadi kerajaan semasa atau kerajaan sebelumnya.

Sri Ram: Anda dikatakan bersekongkol dengan Low. Apakah peranan anda dalam EPU?

Amhari: Peranan saya adalah menghadiri mesyuarat dengan Efendi Norwawi.

Sri Ram: Jadi awak budak pejabat?

Amhari: Ya, lebih kurang begitu.

2.53pm: Berhubung soalan Sri Ram, Amhari berkata tidak pernah melihat orang lain ketika beliau melawat kedua negara itu kerana menganggap ia adalah “misi rahsia”.

2.45pm: Amhari berkata selepas lawatan ke kedua-dua negara itu, beliau meminta untuk berjumpa perdana menteri bagi melaporkan mengenai lawatannya. Beliau berkata berlaku perbincangan ringkas mengenai perjalanannya dengan Najib.

Najib bertanya Amhari jika perkara “di sana betul”, jadi Amhari memberitahu Najib ada projek yang Low mungkin dapat.

2.40pm: Mahkamah bersidang dan Sri Ram menyambung semula soal balas saksi.

Sri Ram bertanya Amhari mengenai perjalanannya ke Abu Dhabi dan China, terutama jika beliau pergi ke kedutaan Malaysia di China.

Amhari berkata tidak.

Sri Ram: Anda juga pergi ke Abu Dhabi. Mengikut arahan siapa?

Amhari: Berdasarkan arahan Najib.

Sri Ram: Adakah arahan ini diberikan pada satu mesyuarat atau mesyuarat berasingan?

Amhari: Berasingan.

12.55pm: Mahkamah ditangguhkan untuk makan tengah hari.

12.53pm: Amhari berkata sebagai pegawai khas, tugasnya adalah sebagai orang tengah jika terdapat sebarang perbezaan pendapat.

“Jadi apabila terdapat percanggahan pendapat, saya menjadi fasilitator untuk membawanya kepada PM.”

Sri Ram: Adakah ia termasuk untuk mempengaruhi perdana menteri?

Amhari: Tidak.

12.48pm: Shafee menamatkan soal balasnya dan meminta maaf kepada Sequerah kerana mengambil masa lebih lama daripada yang dijanjikan.

Sri Ram memulakan soal balas semula.

12.39pm: Shafee bertanya kepada Amhari jika beliau ingat Arul Kanda Kandasamy.

Amhari berkata ingat: “Beliau seorang lelaki yang baik.”

12.26pm: Najib memanggil Shafee ke dok untuk memberi berbincang sebentar sebelum meneruskan soal balas.

12.15pm: Shafee mencadangkan saksi dan Low merancang memberi informasi yang salah kepada Najib.

Amhari tidak bersetuju.

12.08pm: Ram Sri membantah soalan Shafee.

12.03pm: Shafee mencadangkan Amhari ke Abu Dhabi untuk melindungi perjanjian Ipic supaya tidak sampai kepada perhatian Najib.

Amhari tidak bersetuju

Shafee mencadangkan Amhari dan Jho Low berkomplot untuk menipu 1MDB.

Shafee: Saya cadangkan ini. Jangan hanya senyum kepada saya.

Amhari: Saya tidak setuju.

11.55am: Amhari mengatakan beliau sangat gugup dan takut bertemu pegawai China di China.

Shafee: Anda terus menekankan kepentingan anda di China seolah-olah anda adalah ejen 007 James Bond.

Amhari: Itu tidak benar. Saya mengikut Jho Low dan bersama-sama melakukannya.

11.28am: Shafee meneruskan soal balas. Beliau bertanya mengenai kenyataan saksi Amhari bercakap mengenai pergi ke China dan Abu Dhabi untuk membincangkan bailout untuk 1MDB.

Amhari menjelaskan ia bukan bailout. Beliau berkata ini adalah untuk melindungi sesuatu. Beliau berkata pergi ke China untuk memastikan kerjasama antara China dan Malaysia. Beliau mengatakan Najib tidak memintanya bercakap tentang 1MDB di sana.

11.27am: Mahkamah bersambung semula.

Shafee memberitahu Hakim Sequerah terdapat banyak bahagian dalam kenyataan saksi hanya rumor dan beliau akan membuat penghujahan mengenainya. Sequerah meminta beliau mengemukakannya pada akhir kes pendakwaan.

11.01am: Mahkamah berhenti rehat.

11.00am: Shafee mencadangkan bahawa eksekutif Petrosaudi Patrick Mahony dan Tarek Obaid cuba menyembunyikan maklumat daripada Najib.

Shafee menyerahkan artikel itu sebagai barang bukti.

10.48am: Shafee bertanya Amhari mengenai dokumen Xavier Justo yang dijual kepada SPRM.

Amhari berkata tidak tahu mengenainya.

Shafee menunjukkan kepadanya artikel berdasarkan dokumen Justo yang bertajuk “How Petrosaudi executives plotted what to tell Najib”.

Shafee tidak menyebut artikel itu diterbitkan oleh The Edge.

10.45am: Shafee mengimbas kembali kenyataan saksi bahawa Low adalah pakar manipulasi.

Shafee: Anda tidak mencadangkan Najib sebagai manipulator. Anda menuduh Jho Low.

Amhari: Saya katakan Jho Low adalah pakar manipulasi.

Shafee: Anda tidak mengatakan bekas bos anda adalah manipulator?

Amhari: Betul.

Shafee: Sama seperti anda dan Azlin telah dimanipulasi oleh Jho Low. Saya mencadangkan Najib juga dimanipulasi oleh Jho Low.

Amhari: Saya setuju. Ada kemungkinan. Bolehkah saya menambah?

Shafee: Tidak. Saya tidak berminat dengannya.

10.35am: Shafee merujuk kepada kenyataan saksi Amhari apabila beliau menggambarkan bosnya Azlin, tanpa disangka hilang kawalan dan menghempas meja ketika skandal 1MDB terbongkar pada 2015. Azlin menjerit “Duit 1MDB-lah, bro!” .

Shafee: Apabila Azlin berkata ini, beliau mungkin bermaksud banyak perkara. Anda tidak meminta penjelasan daripadanya?

Amhari: Betul.

Shafee: Saya katakan kepada anda, beliau mungkin maksudkan apa yang dibeli Jho Low ialah wang 1MDB, itulah sebabnya beliau berkata “Duit 1MDB-lah, bro.”

Amhari: Saya boleh bersetuju itu salah satu kemungkinan tafsirannya.

Shafee: Mungkinkah beliau berkata demikian kerana orang yang disangka boleh dipercayai, Jho Low, telah mengkhianati kerajaan? Adakah itu satu tafsiran?

Amhari: Saya setuju.

Shafee: Mungkinkah kemarahannya itu ada kene mengena dengan Najib?

Amhari: Saya tidak tahu.

10.30am: Amhari berkata terpaksa mengenal pasti dokumen di apartmen sepupunya.

Shafee: Saya katakan kepada anda, ini adalah cara anda menyembunyikannya untuk digunakan pada masa akan datang. Ini bukan situasi lepas pandang.

Amhari: Saya tidak setuju.

Shafee: Saya katakan kepada anda bahawa selepas siasatan, anda memutuskan untuk bekerjasama dengan mereka (SPRM) bagi mendapat hukuman lebih ringan. Seperti yang dapat kita lihat, anda tidak dikenakan dakwaan. Ini balasan dengan SPRM.

Amhari: Saya tidak setuju.

10.23am: Amhari bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa beliau memusnahkan banyak dokumen mengikut arahan Low kecuali yang ditemui oleh SPRM.

Shafiee: Anda tahu sejak sekian lama Jho Low adalah manipulator. Anda tahu beliau tidak betul, itulah sebabnya anda menyimpan dokumen ini?

Amhari: Saya tidak setuju.

Shafee: Inilah sebabnya mengapa anda membawa SPRM ke tempat lain selain rumah anda. Anda membawa mereka ke rumah lain. Ada seorang wanita di sana?

Amhari: Sepupu saya.

Shafee: Mengapa anda menyimpan banyak dokumen penting di tempatnya?

Amhari: Menjelang pilihan raya tahun lepas, ketua kakitangan di PMO meminta kami memusnahkan banyak dokumen dan menyimpan beberapa dokumen yang relevan. Pada masa itu sibuk, kerana persediaan pilihan raya.

Kerja pilihan raya yang saya lakukan kebanyakannya dilakukan di rumah saya. Rumah saya juga sibuk dan saya memerlukan bantuan daripada sepupu. Beliau membantu saya dan menyimpannya. Saya fikir saya berbuat demikian selepas semuanya selesai tetapi tidak sempat.

Shafee: Ya, tetapi tidak pernah menyimpan sebarang dokumen penting di rumah anda. Ini sengaja anda lakukan sekiranya timbul isu dengan Jho Low.

Amhari: Saya tidak setuju. Dokumen itu hanya disimpan begitu.

Shafee: SPRM mengatakan anda tahu kotak itu dan menunjuknya apabila anda pergi ke pangsapuri sepupu anda.

Amhari: Mereka meminta kerjasama penuh dan saya memutuskan sudah tiba masanya untuk memberi kerjasama. Apabila saya berada di tempat sepupu saya, beliau yang menunjukkan tempat kotak itu, bukannya saya.

10.10am: Shafee bertanya Amhari jika SPRM semasa siasatannya mencari di tiga tempat dikaitkan dengan Amhari. Salah satu daripadanya ialah pangsapuri Low di Jalan Kia Peng 3, yang lain adalah kediaman Amhari di Kota Damansara yang Shafee rujuk sebagai No. 29.

Di alamat kedua, SPRM merampas telefon BlackBerry, dua komputer riba dan dokumen.

Amhari berkata peranti Blackberry diberikan kepadanya oleh Low.

10.02am: Amhari berkata semasa di Khazanah, beliau juga menerima tambahan sebanyak RM25,000 daripada Orb Solutions. Shafee mencadangkan Najib tidak mengetahui gaji daripada Orb Solutions. Amhari tidak bersetuju dengan cadangan ini.

9.52am: Shafee mencadangkan TIA sangat rapat dengan Jho Low, sehinggakan TIA dan UBG berkongsi pejabat. Amhari mengatakan beliau tidak tahu mengenainya.

9.42am: Shafee memulakan soal balasnya.

9.41am: Sri Ram memberitahu mahkamah sesi pada Isnin akan bermula lewat kerana Timbalan Pendakwa Raya Akram Gharib terpaksa berada di mahkamah lain.

Akram memfailkan permohonan supaya kes Riza Aziz dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Shafee memberitahu mahkamah beliau turut terlibat dalam kes itu.

9.37am: Saksi mengambil tempat di kandang saksi.

9.36am: Mahkamah mula bersidang. – 19 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen