BEKAS pembantu khas Najib Razak Amhari Efendi Nazaruddin memberi keterangan pada perbicaraan 1Malaysia Develppment Berhad (1MDB) hari ini bahawa beliau bertemu dengan pegawai bank Singapura yang kemudiannya menjadi antara yang pertama disabitkan kesalahan berhubung skandal itu.
Amhari memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang beliau bersama bekas setiausaha sulit Najib, Azlin Alias dan ahli perniagaan yang kini dalam pelarian Low Tae Jho, bertemu dengan bekas pegawai bank BSI, Yvonne Seah di hotel Le Méridien Singapura.
Saksi tidak mengatakan bila pertemuan itu dibuat. Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 4 April, 2015.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Amhari berkata dia dibawa ke pertemuan itu untuk menandatangani dokumen berkaitan Aerospace Ltd.
Amhari memberitahu mahkamah dia mengikut arahan Azlin dan diperkenalkan kepada Seah ketika itu.
Shafee: Yvonne bawa banyak dokumen, sama ada dokumen penggabungan atau pemindahan?
Amhari: Saya tandatangan apa sahaja yang Datuk Azlin minta saya tandatangan.
Shafee: Datuk Azlin tandatangan satu set, kamu mesti tandatangan satu set lagi kerana ia akaun kamu?
Amhari: Betul.
Saksi berkata, Seah serahkan kepadanya dokumen seterusnya untuk ditandatangan.
Seah dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada 16 Disember, 2016 kerana gagal melaporkan transaksi meragukan yang mana puluhan ribu dolar mengalir keluar dan masuk ke akaun yang berkaitan dengan Jho Low. Dia turut dikenakan denda S$10,000 (RM30,000).
Rakan sekerjanya, Yak Yew Chee dikenakan hukuman penjara 18 minggu atas tuduhan yang sama.
Low disifatkan sebagai perantara dalam 1MDB dan berkhidmat sebagai “bayangan” kepada Najib.
Bekas perdana menteri kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang melibatkan jumlah yang sama. – 18 September, 2019
Komen