Dr Mahathir tegaskan PM India tidak minta Zakir diekstradisi 


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan rakan seawatnya dari India Narendra Modi tidak pernah meminta Dr Zakir Naik diekstradisi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September Ogos, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menafikan Perdana Menteri India Narendra Modi meminta pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik diekstradisi untuk berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan terlibat aktiviti keganasan di India.

“Saya jumpa Modi tetapi beliau tidak bangkitkan isu ekstradisi. Beliau ada nyatakan tentang Dr Zakir tetapi tidak meminta Zakir dihantar pulang ke India,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas melancarkan Rangka Dasar Luar Negara Malaysia di Wisma Putra hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Luar India S. Jaishankar bahawa India meminta Zakir diekstradisi.

Kedua-dua negara mempunyai versi berbeza sama ada terdapat permohonan ekstradisi ke atas Zakir.

Dr Mahathir bertegas bahawa rakan sejawatnya dari India tidak pernah memintanya ketika pertemuan mereka di Rusia awal bulan ini manakala India pula bertegas permohonan itu telah dibuat.

Isu itu sekali lagi dibangkitkan semalam apabila Dr Mahathir dalam satu sesi wawancara dengan BFM berkata, Malaysia cuba mencari negara yang akan menerima Zakir, namun tiada yang menerima pendakwah kontroversi itu.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai persepsi bahawa Putrajaya cuba “melindungi” Zakir.

Kami cuba mencari tempat yang beliau boleh pergi, tetapi pada masa ini, tiada siapa yang mahu menerimanya,” kata Dr Mahathir.

India memberi maklum balas dengan mengingatkan Dr Mahathir bahawa ia gembira untuk menerima Zakir.

Jaishankar berkata: “Biar saya jelaskan untuk rekod. Terdapat permohonan ekstradisi (yang dihantar pada Januari 2018). Kami mahu Zakir Naik kembali dan itu adalah yang cuba kami usahakan”. – 18 September Ogos, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen