MENURUT tinjauan sentimen pengundi, majoriti masyarakat Melayu positif dengan kerjasama atau penyatuan Umno-PAS, bagaimanapun ia tidak bermakna kerjasama tersebut mampu meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan, kata penganalisis politik.
Keputusan dua parti Melayu terbesar di Malaysia mengakhiri permusuhan mereka adalah peristiwa menarik kerana idea perpaduan lebih baik daripada politik yang memecah belahkan, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.
Selain itu, kedua-dua parti menghimpunkan sokongan paling banyak di kalangan orang Melayu kerana sejarah panjang dan rangkaian kukuh mereka dalam masyarakat Melayu di mana mereka sering dilantik sebagai ketua kampung dan pegawai agama.
Disebabkan faktor itu, dengan berganding bahu, mereka mampu menarik lebih 60% undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun tidak dapat mengambil alih kuasa persekutuan.
“Tahap sokongan untuk cita-cita nasionalis Melayu Islam yang dipromosi Umno dan PAS sejajar dengan tahap sokongan kedua-dua parti yang diterima dalam PRU14, iaitu kira-kira dua pertiga pengundi Melayu,” kata Ibrahim lagi.
Namun begitu, Pakatan Harapan (PH) masih boleh merebut naratif nasional untuk mengalihkan sokongan daripada Umno-PAS kepada mereka jika ia dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mempertingkatkan perkhidmatan kerajaan di samping dapat menangani isu-isu kos sara hidup.
Pakar penganalisis lain, Kamarul Bahrin Zahid berkata walaupun Umno dan PAS masih mendapat sokongan kebanyakan orang Melayu, ini tidak secara automatik akan diterjemahkan ke dalam undi dalam pilihan raya umum.
Di atas kertas, berdasarkan keputusan PRU14, Umno dan PAS mampu menghimpunkan undi yang mereka terima dalam PRU14 dan mengalahkan Pakatan di sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen.
“Tetapi setiap pilihan raya berbeza dan mempunyai dinamik dan naratif yang berbeza. Ia bukan semudah satu plus satu sama dengan dua,” kata Kamarul Baharin dari Institut Darul Ehsan (IDE).
Dalam pilihan raya umum akan datang, Pakatan akan berkempen sebagai kerajaan manakala Umno-PAS akan menjadi pembangkang, berbeza dengan PRU14, ketika Umno adalah kerajaan.
Sekiranya Pakatan dapat mengotakan janji dan menyelesaikan masalah negara, ia boleh berkempen sebagai pentadbiran yang lebih berjaya daripada Umno dan PAS, kata Kamarul Baharin.
“Majoriti orang yang ditinjau tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup mereka,” kata Kamarul Baharin merujuk kepada penemuan dalam tinjauan terbaru IDE pada bulan Jun dan Julai.
“Tetapi majoriti mereka juga yakin Pakatan dapat menyelesaikan masalah negara. Jadi jika kerajaan berjaya melakukan ini, mereka masih boleh mengalahkan Umno-PAS,” jelasnya lagi.

Kebangkitan nasionalisme
Umno dan PAS menandatangani piagam pada 14 September untuk bekerjasama sebagai barisan politik pembangkang bagi menewaskan Pakatan pada PRU15.
Kaji selidik oleh IDE turut menunjukkan kemungkinan yang sama, dengan barisan pembangkang mampu merampas sekurang-kurangnya 29 kerusi sekiranya pilihan raya umum berlangsung sekarang.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa piagam berkenaan menggesa “konsensus nasional” dalam kalangan semua masyarakat di negara ini.
Namun, Ahmad Zahid dalam ucapannya sebelum menandatangani piagam itu berkata, agenda Melayu-Islam akan menjadi asas utamanya.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, piagam itu juga akan mempromosikan naratif Melayu-Islam tanpa mengetepikan masyarakat lain.
Kaji selidik oleh Ilham Center terhadap orang Melayu pada 2018 mendapati, majoriti masyarakat Melayu cendeung untuk menyokong naratif konservatif Melayu.
Tinjauan itu mendapati bahawa progresif Pakatan terhadap Islam, seperti penjenamaan pemimpin Islam sebagai “demokrat Islam”, sukar difahami.
“Kerajaan sekarang perlu menggambarkan imej yang lebih tepat dan tidak progresif kerana ia boleh disalah anggap sebagai liberal,” kata Ilham.
Namun masalahnya adalah Pakatan tidak boleh trend ke arah hak konservatif kerana ini adalah kedudukan PAS dan Umno, kata badan pemikir itu.
“Walaupun nasionalisme Melayu lebih tinggi sekarang, kami menjangkakan nasionalisme Islam akan bangkit pada masa depan,” kata Ilham dalam laporannya.
Ibrahim dan Kamarul Baharin berkata Pakatan tidak sepatutnya turut serta dalam permainan PAS atau Umno yang lebih nasionalis hanya kerana ia popular di kalangan orang Melayu.
Sokongan terhadap Umno dan PAS dalam kalangan orang Melayu adalah antara 37% dan 40%, dan masing-masing 18% dan 20%, kata Kamarul Baharin, namun ia di tahap tidak berubah.
“Bagi pengundi, masih awal untuk menentukan sama ada Umno dan PAS sebagai alternatif kepada Pakatan,” kata Kamarul Baharin dari IDE.
Ibrahim dari Merdeka Center berkata, pengundi yang lebih berusia kebanyakannya mengundi berdasarkan kaum dan agama.
“Namun pada PRU15, kita akan lihat lebih ramai pengundi muda yang lebih menitikberatkan tentang pekerjaan dan ekonomi. Pakatan perlu memfokuskan kepada kumpulan ini dan wanita, yang lebih pragmatik apabila mereka mengundi. Ia perlu dilakukan sekarang.” – 17 September, 2019
Komen