Harapan pudar di Balik Pulau selepas Umno-PAS berpakat


Zaim Ibrahim

Penduduk Balik Pulau mengharapkan kawasan itu dapat dibangunkan apabila Pakatan Harapan menang, tetapi tiada apa-apa perubahan dapat dilihat, kata mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2019.

MAT Saifuddin Che Ahmad, pembantu kedai di sebuah kedai makan India Muslim di pekan lama Balik Pulau, Pulau Pinang, sibuk melayan pelanggan pada Jumaat namun sempat mengikuti sejarah politik Malaysia yang berlaku di Kuala Lumpur, pada hari itu.

Dalam tiga pilihan raya umum yang lalu, Mat Saifuddin, 37, mengundi Barisan Nasional yang diwakili calon Umno. Dua kali calon pilihannya kalah, pada 2008 dan 2018, tetapi beliau yakin pada pilihan raya umum akan datang calon Umno boleh menang.

“Balik Pulau (dalam pilihan raya akan datang) saya yakin, tidak mustahil Umno boleh menang balik.

“Apabila Umno dan Pas bersatu,  saya harap Melayu, bangsa saya bersatu. Kalau Melayu bersatu, kita lebih kuat, hak kita lebih terbela,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Balik Pulau adalah antara 30 hingga 40 kerusi Parlimen yang diintai oleh Umno dan PAS apabila dua parti itu membentuk kerjasama politik dengan satu matlamat bersama – menyingkirkan Pakatan Harapan (PH) selepas sepenggal berkuasa.

Kajian Ilham Centre berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 menunjukkan gabungan Umno dan PAS mengatasi PH di sekurang-kurangnya 126 kerusi Parlimen.

Beberapa kerusi itu juga dimenangi oleh pemimpin kanan PH antaranya Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir (DUN Jerlun); Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution (Parlimen Kulim Bandar Baharu) yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad (Parlimen Kuala Selangor).

Gabungan undi Umno dan PAS di kerusi Parlimen Balik Pulau memberi kelebihan tipis kira-kira 100 undi kepada PH tetapi parti itu ketinggalan di dua kerusi negeri iaitu Pulau Betong dan Teluk Bahang. PH kekal mendahului di satu lagi kerusi negeri iaitu Bayan Lepas.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, dalam ucapannya pada Himpunan Penyatuan Ummah pada Jumaat, berkata gabungan Umno dan PAS mampu menguasai lapan negeri pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun bagi seorang lagi pengundi di Balik Pulau, kalau PH hendak kalah pada pilihan raya umum akan datang, kekalahannya itu bukanlah kerana Umno dan PAS bergabung tetapi kerana parti itu gagal menunaikan janji kepada rakyat.

Balik Pulau adalah antara 30 hingga 40 kerusi Parlimen yang diintai oleh Umno dan PAS apabila dua parti itu membentuk kerjasama politik dengan matlamat menyingkirkan Pakatan Harapan selepas sepenggal berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2019.

Kaunselor pendidikan, Mohammad Zul Fadzli Zamri, 25, berkata beliau mengundi PH pada PRU14, sama seperti majoriti rakyat Malaysia yang lain, kerana gelombang lebih setahun lalu yang mengharapkan perubahan.

Namun harapan itu sekarang mula pudar ketika prestasi PH sebagai kerajaan masih tidak menentu, katanya.

“Penduduk Balik Pulau mengharapkan kawasan itu dapat dibangunkan apabila PH menang, tetapi tiada apa-apa perubahan dapat kita lihat.

“Apa yang kita nampak, hak-hak Melayu pula tercabar.

“Saya sendiri tidak sabar untuk PRU15, untuk tukar kerajaan. Pas-Umno adalah pilihan utama dan kerjasama ini akan beri kesan kerana Balik Pulau majoriti penduduknya adalah Melayu,” jelas beliau lagi.

Balik Pulau mempunyai majoriti pengundi Melayu yang membentuk 65% daripada lebih 59,086 pengundi berdasarkan daftar pada PRU14. Pengundi Cina seramai 30% sementara India 5%.

Mereka tinggal di kawasan yang hampir membahagi dua wilayah pulau, menganjur di sebelah barat dari Teluk Kumbar dan Pulau Betong di selatan sampai ke Teluk Bahang di utara.

Kebanyakan pengundi Melayu bekerja makan gaji manakala sebahagian besar juga terlibat dalam sektor pelancongan dan perikanan. Industri inap desa di beberapa kawasan kampung antara yang tarikan popular di sini.

Mat Saifuddin juga berkongsi pandangan sama.

“Mereka ini banyak berjanji sahaja, banyak benda mereka tidak tunai. Kata mahu mansuh tol, bayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada gaji RM 4,000 tapi itu semua tidak buat,” katanya.

Bagaimanapun bagi Umno, kerjasama dengan PAS dan prestasi buruk PH saja belum tentu menjamin mereka boleh berjaya pada pilihan raya akan datang.

“Kualiti calon juga harus diberi perhatian oleh pucuk pimpinan,” kata Timbalan Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Mohamad Farid Saad.

Beliau yakin berdasarkan peratusan pengundi Melayu yang tinggi, Umno dan PAS boleh menang sekiranya bergabung, dengan syarat penyokong kedua-dua parti menghormati kerjasama itu dan persetujuan pimpinan semasa pilihan raya nanti.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol mengakui kerjasama Umno dan PAS harus jadi satu isyarat kepada kerajaan negeri dan jentera PH untuk bekerja lebih kuat.

“Saya yakin kesannya ada di Pulau Pinang dan memberikan ‘signal’ kepada kerajaan negeri untuk sentiasa bekerja dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen