Polis tembak mati tiga suspek kes rompak di Rawang 


Alfian Z.M. Tahir

POLIS menembak mati tiga suspek kes rompak dalam satu kejadian berbalas tembakan awal pagi ini selepas mengejar kenderaan mereka sejauh 7km di Bandar Country Homes di Rawang.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) menemui suspek yang sedang memandu Volkswagen Polo berwarna merah kira-kira pukul 5 pagi.

“Pegawai-pegawai saya mengarahkan mereka untuk berhenti tetapi mereka enggan mematuhi arahan. Mereka kemudian memutuskan untuk melajukan kenderaan dan kami mengejar kira-kira 7km sebelum perompak-perompak itu dapat dihentikan.”

“Menyedari bahawa mereka tidak dapat melarikan diri, dua orang perompak melepaskan tembakan ke arah polis dan kami terpaksa membalas tembakan. Ketiga-tiga suspek terbunuh,” kata Noor Azam dalam sidang akhbar di Gombak hari ini.

Noor Azam kemudian memberitahu pemberita bahawa polis menemui dua pucuk pistol, sebilah parang dan beberapa topeng di dalam kereta tersebut.

“Kereta yang digunakan oleh perompak itu dilaporkan dicuri bulan lepas di Rawang dan pemiliknya adalah orang yang menuduh polis lambat menjawab panggilan 999,” kata Noor Azam.

Pegawai tinggi polis itu berkata bahawa ketiga-tiga mereka mungkin sedang mencari rumah untuk dipecah masuk.

Beliau kemudian berkata di Selangor dari Mei hingga September, 60 kes pecah rumah dilaporkan.

“Dalam kebanyakan kes, ia berlaku antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi, kami yakin dapat mengurangkan jumlah kes sedemikian dan menumpaskan sindiket berkenaan,” katanya. – 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Siapa tiga3 orang ini? Tiada nama ker?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Mohamed Ghouse Shajahan · Ulasan