Permaisuri Agong gesa polis henti tangkap individu komen negatif


Ragananthini Vethasalam

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah menegaskan baginda menyahaktif akaun Twitter atas sebab peribadi, bukan kerana komen negatif terhadapnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2019.

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah hari ini melahirkan rasa kecewa apabila mendapat tahu polis menahan individu yang didakwa menghina baginda di media sosial.

“Seperti yang saya katakan, saya nyah aktif bukan sebab saya kecewa dengan komen yang dibuat tetapi atas sebab peribadi… TETAPI HARI INI SAYA SANGAT KECEWA POLIS MENAHAN MEREKA… Selama ini, saya dan suami tidak pernah membuat laporan polis terhadap semua kata-kata buruk terhadap kami… ini negara bebas,” titah Tunku Azizah di akaun Twitter baginda, @cheminahsayang.

Tanda pagar #AmpunTuanku trending di Twitter untuk memujuk Permasuri Agong mengaktifkan semula akaun media sosial baginda yang dinyahaktif Rabu lalu.

Menurut Tunku Azizah perkara itu dimaklumkan oleh anak perempuannya, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah.

Baginda berkata oleh kerana marah dan sangat kecewa, akaun Twitternya diaktifkan semula.

“Afzan kejut saya tadi ‘mama polis tangkap 2 orang!’, saya sedih dan MARAH dan terus aktifkan Twitter, 

“Tidak ada niat saya supaya mereka itu ditangkap polis, saya sendiri beritahu pihak Istana untuk beritahu pihak polis jangan ambil tindakan, saya ulang semula, saya nyahaktif bukan sebab MEREKA,” titah baginda.

Permaisuri dalam hantaran seterusnya di Twitter meminta rakyat supaya bertenang.

“BERTENANG semua… seperti yang anak saya selalu kata… BERTENANG MAMA, setiap kali saya marah!.” – 14 September, 2019.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen