Kebajikan wanita Orang Asli ditinggal suami warga asing dijaga, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata kerajaan memberi jaminan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan masyarakat Orang Asli yang berhadapan isu perkahwinan dengan warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2019.

KERAJAAN memberi jaminan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan masyarakat Orang Asli yang berhadapan isu perkahwinan dengan warga asing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

“Kita tidak boleh larang mana-mana pihak untuk berkahwin dengan pilihan mereka sendiri, termasuk Orang Asli. Tetapi apabila masalah perkahwinan timbul, contohnya ditinggalkan suami warga asing yang pulang ke negara asal, kerajaan sedia bantu mereka,” katanya pada sidang media selepas lawatan beliau ke Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar tempatan pada Julai lepas mengenai warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen niaga.

Akhbar itu melaporkan pembukaan kawasan pertanian komersial khususnya sayur-sayuran yang hampir dengan penempatan Orang Asli di negara ini menjadikan gadis kaum minoriti itu sasaran manipulasi warga asing.

Beliau berkata kerajaan juga akan mencari jalan untuk membantu mereka dengan mengambil kira keperluan mereka.   

“Orang Asli tinggal di luar bandar dan kita kena faham mereka mungkin tidak ingin ke bandar dan tidak selesa ditempatkan di satu-satu tempat bagi diberikan bantuan berbanding masyarakat bandar yang ada bantuan latihan kemahiran dan sebagainya. Jadi kita perlu cari jalan terbaik membantu mereka,” katanya.

Isu ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini yang berkata ia merupakan suatu perkara yang memerlukan siasatan lanjut dan tidak mahu mana-mana wanita dieksploitasi. – 13 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen