KENYATAAN dua menteri Kabinet, P Waytha Moorthy dan M Kulasegaran berkaitan kaum jauh lebih teruk berbanding ceramah Zakir Naik, dakwa anak didik pendakwah itu.
Menurut Zamri Vinoth, kenyataan penceramah itu hanya disalah tafsir oleh media sehingga dianggap sebagai perkauman.
Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas penceramah itu sekiranya benar Zakir mengeluarkan kenyataan perkauman, katanya.
“Ucapan tersebut bukan berbentuk jenayah sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang dan sebagainya.
“Kalau tidak setuju dengan ucapan Zakir, tidak apa tetapi kalau mereka rasa ia satu kesalahan besar, kenapa tidak ambil tindakan mahkamah?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Namun kenyataan dua menteri berkenaan pula lebih jelas menggelar Melayu sebagai pendatang dan memburuk-burukkan Malaysia di luar negara.
“Ada lebih ramai yang buat kenyataan yang lebih teruk daripada Zakir. Ucapan P Waytha Moorthy dengan Kulasegaran lagi teruk sedangkan mereka menteri.
“Kulasegaran mengeluarkan kenyataan bahawa Melayu pendatang ketika beliau memegang jawatan menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau merujuk kenyataan Kula pada Julai tahun lalu yang mendakwa golongan Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini.
Menurut menteri itu, penduduk asal kawasan ini merupakan penganut agama Hindu yang menjejakkan kaki di negara ini sejak 2,500 tahun lalu.
Dakwaan tersebut dibuat berdasarkan bukti mengenai kedatangan agama Hindu yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan banyak kuil telah ditemukan di kawasan tersebut.
Kula memohon maaf atas kenyataan yang dibuat semasa satu kempen pilihan raya kecil itu.
Waytha Moorthy dalam satu wawancara dengan sebuah rancangan televisyen luar negara pula menuduh Malaysia yang dikuasai Melayu Islam yang menindas penganut Hindu dan orang India.
Kenyataan itu dibuat kira-kira 10 tahun lalu dalam satu wawancara di luar negara semasa menteri itu memimpin pergerakan hak Hindu, Hindraf.
Zamri juga mempersoalkan sikap segelintir menteri Melayu kerajaan Pakatan Harapan juga mengkritik Zakir tetapi membisu terhadap kenyataan kontroversi Kulasegaran dan Waytha.“Kenapa bila Kulasegaran cakap Melayu pendatang, Waytha Moorthy kutuk Malaysia, menteri-menteri Melayu ini berdiam diri?
“Tiba-tiba dalam isu Zakir Naik ini hendak jadi berani? Selama ini mana hilang keberanian mereka?” soalnya.
Beliau dipercayai merujuk kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kenyataan Zakir sebagai serangan ke atas semua rakyat Malaysia.
Syed Saddiq juga menggesa agar Zakir diusir atas kenyataan penceramah itu dalam ceramah di Kota Baru, Kelantan minggu lalu.
Zakir didakwa berkata, malang kerana masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad.
Ia memandangkan masyarakat India bersetuju dengan tuntutan Modi agar Zakir dihantar pulang untuk menghadapi pertuduhan.
Zakir juga didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak lebih besar berbanding orang Islam di India.
Mengulas lanjut, Zamri berkata tindakan boleh dikenakan ke atas Zakir sekiranya langkah sama dikenakan ke atas dua menteri DAP tersebut.
“Kalau kerajaan sanggup lucutkan kewarganegaraan Kulasegaran dan Waytha Moorthy, saya sendiri akan minta Zakir Naik keluar,” kata Zamri.
Pada Selasa, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Zakir Naik kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu. – 16 Ogos, 2019.
Komen