PAS kini meremehkan peristiwa Memali, kata pemimpin Amanah Khalid Samad, selepas setiausaha agung parti Islam itu Takiyuddin Hassan semalam berkata insiden berdarah lebih tiga dekad itu “sudah jadi kecil” jika dibandingkan dengan penyatuan ummah dengan Umno minggu ini.
Pengarah Komunikasi Amanah itu berkata Takiyuddin tidak wajar mengeluarkan kenyataan seperti itu, yang memberikan gambaran peristiwa Memali sekadar isu politik.
“Dengan kenyataan itu seolah beri gambaran bahawa peristiwa itu berbaur politik semata-mata… apabila berdamai dua pihak maka ia sudah tidak jadi isu.
“Sedangkan, ada nyawa terkorban di pihak polis dan org kampung. Kalau betul beliau beri kenyataan begitu, ia seolah mainan politik dan tak sepatutnya peristiwa itu diremehkan.
“Saya amat dukacita dengan kenyataan itu,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Khalid yang sebelum ini juga ahli PAS berkata, peristiwa Memali adalah isu sensitif dan banyak hal mengenainya yang menuntut penjelasan.
Oleh itu, katanya, kerjasama politik Umno dan PAS tidak akan mengubah hakikat bahawa tragedi itu berlaku.
“Saya terkejut… kita lihat dalam kes Memali ini ada banyak isu yang harus diperjelaskan. Ia sebagai satu tragedi yang tak harus berlaku
“Bagi Takiyuddin (untuk) kata ia perkara kecil, seolah tidak ada pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya (Memali),” katanya.
Khalid juga meragui dakwaan Takiyuddin bahawa waris keluarga peristiwa Memali sudah memaafkan Umno, atas apa yang berlaku pada November 1985 itu.
“Agak pelik jika keluarga mangsa Memali boleh maafkan begitu. Yang penting ada keadilan bagi mereka dan yang terkorban. Mereka seharusnya dapat pembelaan,” katanya.
Semalam, Takiyuddin berkata peristiwa berdarah Memali sudah tidak timbul lagi sekarang selepas Umno dan PAS memilih untuk bekerjasama atas nama penyatuan ummah.
“Peristiwa itu telah menjadi kecil dengan adanya penyatuan ummah ini. itulah kesimpulannya… peristiwa lain (juga) bukan sahaja Memali,” kata Takiyuddin.
Menurut Takiyuddin, berdasarkan maklum balas daripada pimpinan PAS di Kedah, waris keluarga dan penduduk Memali sudah memaafkan Umno sekaligus dapat menerima penyatuan ummah.
Pada 19 November 1985 di Kampung Memali, di Baling, Kedah, 18 orang terbunuh termasuk empat anggota polis dalam operasi pihak berkuasa mahu menahan penyokong PAS, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Kertas putih yang dibentangkan kerajaan pada masa itu mendedahkan antara lain hubung kait kejadian itu dengan ucapan Abdul Hadi Awang, sekarang Presiden PAS, di Kuala Terengganu pada April 1981 yang mengecam Umno, yang kemudiannya dikenali sebagai Amanat Hadi. – 13 September, 2019.
Komen