BERLALU sudah hari-hari di mana kemenangan pilihan raya bergantung sepenuhnya hanya dengan slogan kempen, ceramah sampai lewat malam dan strategi besar.
Mengambil contoh politik Amerika yang kini mengguna pakai algoritma dan kaji selidik dalam merencana strategi kempen, pembangkang kini menambah senjata baharu mereka – 82 belia pintar, berbakat dan penuh tenaga.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata Invoke Malaysia (Invoke) yang baru berusia tujuh bulan mengambil 80 graduan daripada pelbagai bidang dan kolej berprestij seperti Oxford, Berkeley dan King’s College di London.
“Kami memacu gelombang perubahan, tetapi jujurnya kita tidak ada sistem mencukupi untuk meletakkan ejen pengundian dan pengiraan undi (PACA) di semua kerusi kami,” kata wakil rakyat PKR itu.
Beroperasi dari Sungai Besi, Kuala Lumpur, Invoke organisasi tidak mengaut keuntungan menjalankan kerja analisis data dan profil kecenderungan sifat dan corak pengundi.
Mengambil sepasukan sukarelawan sebagai kakitangan, Invoke mengutip maklumat pengundi, antaranya ialah maklumat asas seperti umur, jantina, bangsa, pekerjaan, agama serta isu berkenaan pengundi yang berkaitan isu syariah dan rasuah.
Maklumat itu kemudiannya diproses oleh saintis data untuk mengenal pasti strategi tepat untuk digunakan di mana-mana kerusi yang diberi.
Selain itu, Invoke menjalankan pengambilan agen pengundian dan pengiraan undi bagi menyokong 50 calon yang berdaftar dengan mereka.
“Kami pada masa ini mempunyai 9,000 sukarelawan, kami perlu capai 40,000. Invoke memulakan latihan PACA di 12 pusat kami sebulan lalu.
“Latihan akan bertambah kerana pilihan raya semakin dekat, menerusi program dan rancangan bual bicara,” katanya.
Dimulakan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggunakan duit sendiri sebagai modal asas, Invoke baru-baru ini mengadakan makan malam kutipan dana dan berjaya mengumpul RM150,000.
Invoke pada masa ini mengendalikan kempen untuk 50 calon daripada PKR, Amanah dan DAP.
“Saya tidak mahu kempen pembangkang berdasarkan kepada penyokong kewangan. Penyokong seperti ini akan meletakkan taruhan mereka ketika pilihan raya dan biasanya menyokong calon tertentu.
“Tetapi bila anda menang, mereka akan datang pada anda,” kata Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan, kepada The Malaysian Insight.
Sehubungan itu, Invoke meletakkan syarat tertentu kepada calon sebelum bersetuju membantu dalam kempen mereka.
“Calon yang hendak menggunakan Invoke perlu mengisytiharkan aset mereka dan sokongan untuk beberapa dasar pro perubahan,” kata Rafizi.
Wong Chen berkata Pakatan Harapan perlu memenangi 440 kerusi baharu dalam pilihan raya umum akan datang jika mahu menewaskan Barisan Nasional.
“Jika ia pertandingan satu lawan satu, kita mungkin perlukan 3% hingga 4% pengundi atas pagar. Tetapi bila pertembungan tiga penjuru, 1% hingga 2% perubahan cukup untuk pilih pemenang,” kata Rafizi.
“Oleh itu anda perlu tahu kerusi mana yang terdedah kepada perubahan itu, dan juga apa mesej yang mereka perlukan untuk pengundi utama.”
Tetapi kenapa agaknya golongan belia mahu jadi sukarelawan di badan pemikir pilihan raya, awal sebelum pilihan raya umum bermula?
Jeremy Pang, 18, berkata seronok menjadi pelatih di Invoke dengan pelbagai pengalaman pembelajaran diperoleh.
“Saya baru tamat SPM dan merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang. Jadi pelatih di sini memberikan saya pengalaman tentang bagaimana aliran wang dalam sesebuah kempen politik,” katanya.
Peng berkata beliau berharap pengalaman tiga bulan di situ akan sekurang-kurangnya memberikan asas kepadanya ketika melanjutkan pelajaran pada masa depan.
“Saya hendak melanjutkan pelajaran dalam negara, saya harap apa yang saya belajar di sini dapat membantu masa depan pengajian saya,” katanya.
Lim Kim Hock, 19, baru saja tamat Sijil Peperiksaan Bersepadu dan menjalani latihan di Invoke sangat menyeronokkan.
“Baru-baru ini mereka bawa kami ke Parlimen untuk dapat pengalaman melihat bagaimana proses perundangan berfungsi,” katanya.
Merancang untuk ke Taiwan melanjutkan pelajaran, Lim berkata beliau berharap dapat bekerja lagi dengan Invoke pada masa depan.
Rafizi berkata Invoke menggunakan wang yang dikutip daripada acara kutipan dana untuk membayar gaji 82 kakitangannya di seluruh negara.
Invoke pada masa ini mengutip dana supaya operasi mereka dapat berjalan lancar bagi tempoh 10 bulan akan datang.
“Alasan kenapa kami meminta sumbangan bagi tempoh 10 bulan ialah kami menjangka perdana menteri akan mengumumkan pilihan raya selepas September, atau selewat-lewatnya Januari atau Februari,” katanya. – 19 April, 2017.
Komen
Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan