JEREBU tahunan yang melanda Asia Tenggara sebahagiannya disebabkan oleh pihak berkuasa berdepan masalah menguatkuasakan undang-undang terhadap pembakaran hutan secara haram di kawasan yang luas, kata pakar Indonesia.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini Pusat Meteorologi Khas Asean mencatatkan peningkatan jerebu dari sederhana ke tebal disebabkan peningkatkan aktiviti di kawasan panas di Indonesia khususnya di bahagian Sumatera dan Kalimantan.
Profesor Fakulti Geografi di sebuah universiti di Indonesia, Tarsoen Waryono berkata bagi sesetengah rakyat Indonesia, teknik tebang dan bakar adalah cara paling cepat untuk penyediaan tapak tanaman.
“Walaupun kerajaan ada peraturan terhadap aktiviti itu, ia tetap berterusan. Mereka bakar, kemudian bersembunyi dan sukar dicari oleh pihak berkuasa,” katanya.
Kebanyakan kebakaran berlaku di hutan gambut dengan petani kecil dan syarikat besar bersaing bagi mendapatkan ruang pertanian terhad untuk memberi makan kepada penduduk yang semakin meningkat.
Syarikat menggunakan teknik pembakaran untuk membersihkan tanah untuk dijadikan ladang kelapa sawit.
Deddy Hadriyanto daripada Fakulti Kehutanan Universiti Mulawarman, Samarinda, Kalimantan Timur berkata, ramai petani yang bercucuk tanam untuk keperluan sara hidup dan diketahui melakukan aktiviti itu di tanah bukan milik mereka.
“Mereka buat aktiviti pembakaran di hutan gambut kemudian lari. Kemudian mereka datang semula untuk buat aktiviti penanaman selepas pihak berkuasa melawat tapak tersebut.
“Saya percaya jerebu terjadi disebabkan aktiviti pembakaran oleh petani dan syarikat berkaitan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan ada undang-undang dan petani tahu mengenai perkara itu.
“Tetapi itu adalah keperluan asas, jadi mereka mengabaikan peraturan kerana mahu bercucuk tanam untuk terus hidup,” katanya sambil menambah bahawa beras adalah tanaman yang biasa ditanam.
Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran tentang kualiti udara yang tidak sihat di Sarawak (Sri Aman, Serian, Kuching dan Betong) dan beberapa negeri di Semenanjung (Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor) termasuk Sabah (Tenom dan Sipitang).
Di samping itu Jabatan Meteorologi Malaysia berkata penanaman awan akan dijalankan terutamanya di Sarawak jika atmosfera stabil dan sesuai untuk mengurangkan asap di sana.
Dilaporkan Malaysia menawarkan untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, mesej itu disampaikan kepada Penasihat Menteri Indonesia Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya Agung Cahaya Sumirat di Kedutaan Indonesia. – 13 September, 2019.
Komen