Penolong pengarah pendaftaran dituduh 11 kes jual MyKad, surat beranak


Zaim Ibrahim

Mohd Faizul Ariffin bersama lima yang lain berdepan 32 pertuduhan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom). – Gambar The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

PENOLONG Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang Mohd Faizul Ariffin didakwa atas 11 pertuduhan jenayah kerana menjual dokumen pengenalan Mykad dan sijil kelahiran kepada warga asing.

Beliau dituduh bersama lima yang lain, dengan keseluruhan 32 pertuduhan.

Faizul didakwa atas dua kes mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM150,000, atau kedua-duanya.

Beliau juga dikenakan empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan atas jenayah pemalsuan dokumen, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selebihnya, beliau dikenakan lima pertuduhan di bawah Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di dua mahkamah sesyen di hadapan hakim-hakim Salha Hamzah dan Mazdi Abdul Hamid.

Keenam-enam tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin oleh hakim sementara menunggu kes disebut semula pada 18 September ini untuk direkodkan pengakuan.

Mengikut kertas pertuduhan, Faizul didakwa mengeluarkan kad pengenalan kepada lima orang warga China. Beliau diwakili oleh peguam, Sukhindarpal Singh.

Lima individu yang turut dituduh adalah ahli perniagaan bergelar Datuk, Lai Chin Wah, 56; Chen Guan Chai, 36; Loh Chan Cheong,34; Yap Cheng Wah, 44; dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 56.

Kesemua mereka menghadapi pertuduhan yang sama di bawah tiga seksyen.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut sekitar Januari 2019 hingga Februari 2019.

Semalam, polis berjaya menahan 20 individu bagi membantu siasatan  sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di Pulau Pinang yang didalangi pegawai JPN negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata suspek ditahan di Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun didapati tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu, pada Mei lalu. – 12 September, 2019.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen