20 ditahan disyaki terlibat pengeluaran sijil kelahiran, kad pengenalan tak sah 


POLIS menahan 20 individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata suspek yang ditahan di Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

“Kesemua suspek berusia 32 hingga 70 tahun merupakan ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia (palsu).

Polis merampas pelbagai barangan antaranya 38 telefon bimbit, 34 pasport, lima salinan sijil kelahiran, 58 salinan pasport dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang.

“(Individu) itu menguruskan sijil kelahiran dan kad pengenalan tidak sah dan semasa proses mengemas kini data, beliau (suspek) juga mengarahkan beberapa staf lain untuk terlibat sama,” katanya.

Huzir berkata sindiket tersebut dipercayai memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga RM600,000 daripada warga asing dan siasatan diteruskan bagi mengesan ahli sindiket yang masih bebas.

Kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)  2012 (Sosma) selama 28 hari untuk siasatan lanjut, katanya. – Bernama, 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen