SAKSI ketiga perbicaraan kes bunuh Ketua Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam petang ini bahawa laporan polis dibuat pada 2015 oleh si mati setelah rumahnya dipecah masuk dan dirosakkan.
Koperal Jumardi Musalim dari Balai Polis Daerah Petaling Jaya memberitahu mahkamah bahawa komputer riba Nazrin telah hancur ketika pecah masuk dan beberapa pakaian “dihiris” atau dipotong menggunakan objek tajam.
“Bantal telah dipotong, beberapa pakaian juga dipotong. Komputer riba dirosakkan.
“Suspek menggunakan gincu untuk merosakkan isi rumah tetapi tiada perkataan ditulis di dinding,” kata jurugambar polis dari unit D6.
Ketika ditanya oleh peguam utama Mohamad Shafee Abdullah mengenai cap jari yang dijumpai di rumah berkenaan Jumardi berkata dia tidak mengetahui mengenai perkara itu.
“Itu tugas pegawai siasatan,” katanya.
Hari pertama perbicaraan kes bunuh Nazrin pagi ini dibuka oleh pendakwa raya diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran yang dalam pembukaannya berkata pihaknya akan membuktikan bahawa bekas CEO Cradle Fund itu dibunuh dan badannya dibakar oleh keluarganya sendiri bagi menyembunyikan jenayah mereka.
Raja Rozela berkata si mati tinggal bersama tertuduh pertama iaitu isterinya Samirah Muzaffar, dua anaknya dari perkahwinan lain dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Beliau berkata laporan bedah siasat pertama menyatakan punca kematian adalah akibat komplikasi dari letupan di kepala dan bedah siasat selepas tiga bulan kemudian menunjukkan ada beberapa kecederaan dipukul dengan senjata tumpul di kepala.
“Mangsa tidak mati dalam kebakaran itu tetapi kebakaran itu sengaja dibuat untuk menutup pembunuhan itu,” kata timbalan pendakwa raya.
Bedah siasat kedua dibuat atas permintaan abang mangsa. Letupan yang disebut merujuk kepada dakwaan keluarga bahawa telefon bimbit yang sedang dicas berhampiran kepala Nazrin meletup.
Pagi ini mahkamah juga mendengar daripada dua saksi polis dari Bahagian Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah Lans Koperal Nazrin Zakaria dan Koperal Mahadin Bakar yang memberitahu mahkamah mengenai kesan darah yang banyak ditemui di tempat kejadian dan di bawah badan mangsa.
Isterinya Samirah bersama dua anak lelaki berusia 14 dan 16 tahun didakwa membunuh Nazrin antara 13 dan 14 Jun 2018 di rumah mereka di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. – 6 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen