Pendakwa akan buktikan CEO Cradle Fund dibunuh keluarga


Alfian Z.M. Tahir

Samirah Muzaffar, isteri CEO Cradle Fund dituduh membunuh suaminya sebelum membakar mayat untuk menutup bukti pembunuhan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 September, 2019.

PIHAK pendakwa raya kes pembunuhan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund officer Nazrin Hassan akan membuktikan bahawa usahawan itu dibunuh oleh ahli keluarganya dan mayatnya dibakar untuk menutup jenayah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes itu hari ini berkata sebelum insiden itu, mangsa tinggal bersama tertuduh pertama, Samirah Muzaffar yang juga isterinya bersama dua anak lelaki tiri dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

“Pihak pendakwa akan membuktikan pembunuhan berlaku antara 11.30pm hingga 4am pada 13 Jun dan 14 Jun, 2018 di bilik tidur utama mangsa dan keluarganya.

“Mangsa tinggal bersama isterinya, tertuduh pertama, dengan dua anak tiri lelaki dan seorang pembantu rumah Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih melarikan diri,” kata Raja Rozela pada hari pertama perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata dapatan daripada bedah siasatan pertama menunjukkan punca kematian ialah komplikasi daripada letupan di kepala, dan bedah siasat kedua tiga bulan kemudian menunjukkan kesan kecederaan dipukul dengan senjata tumpul di kepala.

“Mangsa tidak mati dalam kebakaran itu tetapi kebakaran itu sengaja dibuat untuk menutup pembunuhan itu,” kata timbalan pendakwa raya.

Bedah siasat kedua dibuat atas permintaan abang mangsa. Letupan yang disebut merujuk kepada dakwaan keluarga bahawa telefon bimbit yang sedang dicas berhampiran kepala Nazrin meletup.

Perbicaraan kes bunuh CEO Cradle Fund bermula hari ini dengan isteri mangsa, Samirah Muzaffar didakwa membunuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 September, 2019.

Pagi ini, mahkamah turut mendengar keterangan dua saksi polis daripada bahagian bantuan teknikal Jabatan Siasatan Jenayah (D6).

Lans Koperal Nazrin Zakaria dari balai polis daerah Petaling Jaya memberitahu mahkamah bahawa beliau nampak darah yang banyak di tempat kejadian dan di bawah badan mangsa.

Beliau diarahkan oleh pegawai penyiasat ASP Nizam Daud untuk mengambil semua gambar di tempat kejadian dan bukti berkaitan ditemui di dalam rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

“Pada 14 Jun kira-kira 3 petang saya diarahkan untuk mengambil gambar di tempat kejadian dan mengumpulkan gambar bukti di rumah itu. Ketika saya masuk ke dalam bilik itu, saya nampak mayat terbaring di sebelah katil.

“Dinding hitam kerana asam dan ada darah di tempat kejadian dan juga di bawah mayat,” kata saksi kedua itu ketika menjawab soalan peguam LS Leonard.

Seorang lagi saksi polis, Koperal Mahadin Bakar memberitahu mahkamah bahawa pada 5 November, 2018 beliau dan ASP Nizam dan anggota pasukan forensik Bukit Aman pergi ke rumah itu kali kedua untuk mengambil lebih banyak gambar. Mereka turut disertai oleh dua doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Mahadin berkata kali pertama beliau ke rumah itu untuk mengambil gambar ialah pada 21 Ogos.

“Pada lawatan kedua, IO (ASP Nizam) minta saya ambil gambar kesan darah ditemui di dinding di bilik itu. Ada dua doktor dan sepasukan forensik dari Bukti Aman,” katanya menjawab soalan ketua peguam bela Shafee Abdullah.

Shafee kemudian bertanya adakah Mahadin nampak bekas darah itu ketika kali pertama datang ke rumah itu pada 21 Ogos.

“Saya tidak ingat, saya rasa saya tidak nampak ketika kali pertama datang,” katanya.

Perbicaraan itu didengar di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Mahkamah berhenti rehat dan akan bersambung pada 3 petang. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen