PKR ambil tindakan jika Farhash terlibat kes pukul


Nabihah Hamid

Kedudukan Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga pengerusi PKR Perak dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti pada Rabu lalu, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2019.

PKR akan mengambil tindakan ke atas Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kalau betul beliau bersalah dalam satu kes pukul yang sedang disiasat oleh polis, kata sumber parti.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kedudukan Farhash, yang juga pengerusi PKR Perak, dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti pada Rabu lalu.

“Memang (mesyuarat pada Rabu) ada bincang isu Farhash. 

“Presiden ada kata jika betul Farhash salah, parti akan ambil tindakan. Mungkin boleh pecat (dari ahli) juga,” kata seorang pemimpin PKR  yang enggan dinamakan. 

Dalam pada itu, seorang lagi pimpinan yang juga tidak mahu dikenali berkata parti menunggu siasatan polis dan tidak membuat sebarang kesimpulan. 

“Kita berpegang pada kata-kata Farhash terlebih dahulu dan tunggu siasatan polis. Lagipun Presiden pun dah kata minta Farhash bantu siasatan polis,” kata sumber yang juga seorang ahli Parlimen. 

Semalam, Anwar menggesa Farhash, yang juga setiausaha politiknya, tampil untuk membantu siasatan polis. 

“Walaupun dia kata laporan polis sudah ditarik balik, bila polis minta jumpa dia kena beri kerjasamalah,” kata Anwar.

Kelmarin, polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata di Ampang, Selangor. Mereka yang bekerja sebagai jurulatih seni mempertahankan diri muay thai menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurut polis, kejadian pada malam 31 Ogos itu turut membabitkan Farhash dan meminta setiausaha politik Anwar itu membantu siasatan.

Sehingga semalam polis berkata masih gagal mengesan Farhash yang dikatakan suspek utama.

Farhash dalam kenyataannya berkata beliau sedia memberi kerjasama kepada polis.

Bagaimanapun beliau mendakwa laporan polis berhubung kes itu dibuat ke atas adiknya dan bukan dirinya.

Farhash juga mendakwa, individu yang cedera dalam kejadian pada malam tersebut cuba merogol dan mencabul kehormatan isterinya dua tahun lalu.

“Beliau juga pernah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas cubaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan. – 6 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen