POLIS masih gagal mengesan seorang setiausaha Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dikehendaki berhubung kes merusuh dan mencederakan seorang lelaki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, pengerusi PKR Perak itu suspek utama dalam kejadian di sebuah kompleks sukan di Ampang pada malam ambang Merdeka itu.
“Kami sudah minta Farhash tampil membantu siasatan namun masih gagal dikesan sehingga kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tiga lelaki tempatan yang turut dikehendaki dalam kes tersebut bagaimanapun sudah menyerah diri di ibu pejabat polis daerah Ampang pagi ini, katanya.
“Mereka akan direman esok untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Fadzil berkata, seorang daripada tiga suspek itu memiliki beberapa rekod dadah dan jenayah dan dikehendali untuk siasatan IPD Cheras berkaitan kes dadah.
Farhash dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun menyebut beliau sedia untuk memberi kerjasama kepada polis.
“Laporan polis yang dibuat adalah ke atas nama adik saya namun saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu,” katanya.
Beliau juga mendakwa, individu yang cedera dalam kejadian pada malam tersebut cuba merogol dam mencabul kehormatan isterinya dalam kejadian dua tahun lalu.
“Beliau juga pernah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas cubaan tersebut,” katanya.
Menurut polis, rusuhan bersenjata yang berlaku pada malam 31 Ogos itu melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.
Kejadian dipercayai bermula apabila suspek terserempak dengan mangsa dan menolak mukanya sehingga berlakunya satu kekecohan.
Mangsa yang diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan. – 4 September, 2019
Komen