Anwar gesa pegawainya bantu siasatan polis


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim gesa pegawai khasnya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak membantu polis dalam siasatan berhubung kes serangan di Ampang, Sabtu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 September, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menggesa pegawai khasnya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk membantu polis dalam siasatan berhubung kes serangan di Ampang, Sabtu lalu.

Bercakap ringkas kepada media hari ini, Anwar menasihatkan Farhash yang juga pengerusi PKR Perak supaya berjumpa dengan polis secepat mungkin.

“Dia patut, dia perlu jumpa polis,” kata Anwar ketika ditemui di satu program di Sunway hari ini.

Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dalam satu kenyataan berkata Farhash dan 10 individu lagi didakwa menyerang seorang jurulatih tinju di luar Kompleks D’Star Arena hari hari Merdeka.

Dalam insiden pada 9 malam itu, pergaduhan dipercayai berlaku antara 12 dan 14 lelaki di kompleks di Ampang itu. Pergaduhan bermula apabila suspek tiba di pusat itu dan menolak jurulatih terbabit di muka, kata polis.

Sementara itu, ahli Parlimen Port Dikson itu enggan mengulas tentang kemunculan klip video seks baharu membabitkan timbalannya, Azmin Ali.

“Saya tidak mahu terlibat dengan perkara ini,” katanya.

Awal pagi ini, setengah dozen lagi klip video membabitkan individu menyerupai menteri hal ehwal ekonomi itu tersiar di media sosial.

Klip itu dikongsi dalam satu kumpulan sembang di aplikasi WhatsApp. – 5 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen