Subsidi petrol bersasar tertangguh kerana kurang data, kata sumber


Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Skim subsidi petrol bersasar untuk kumpulan B40 dan M40 berdepan masalah kekurangan data untuk pelaksanaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2019.

RANCANGAN skim subsidi petrol bersasar mahu dilaksanakan kerajaan tertangguh kerana ia tidak dapat menentukan sistem pembayaran terbaik yang praktikal untuk kumpulan sasaran, kata sumber.

Penangguhan itu, kata mereka, disebabkan tidak ada data yang wujud mengenai kumpulan lain, kerajaan hanya mempunyai data isi rumah B40.

“Walaupun KPNDHEP sudah bersedia, kerajaan tak boleh teruskan kerana sistem subsidi kekurangan data kumpulan M40,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Menurut laporan sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) mahu memberikan bantuan wang tunai terus kepada kumpulan B40. Data ini sudah wujud menerusi rekod Bantuan Sara Hidup (BSH).

Data itu kemudiannya akan disemak dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menentukan jumlah kenderaan dalam sesuatu isi rumah.

Gabungan data JPJ dan BSH ini akan membolehkan kementerian menentukan berapa banyak perlu dibayar kepada isi rumah yang layak, berdasarkan jumlah dan jenis kenderaan dimiliki mereka.

Rancangan subsidi itu melibatkan pembayaran RM30 untuk sebuah kereta dan RM12 untuk motorsikal dengan jumlah maksimum dua buah kereta dan dua buah motorsikal untuk setiap isi rumah.

Subsidi petrol bersasar itu dicadangkan dalam Belanjawan 2020, hanya terpakai kepada kereta di bawah kuasa 1,500cc dan motorsikal di bawah 125cc.

Seorang lagi sumber kata, ada cadangan kepada Kabinet supaya kumpulan M40 diberikan subsidi menggunakan sistem kad.

“Tetapi, pembekal minyak tidak bersetuju untuk memasang sistem bayaran kad tambahan di stesen,” kata sumber itu.

Masalah pelaksaan juga dijangka berlaku di kawasan luar bandar kerana penduduknya tidak membeli minyak di stesen minyak tetapi di kedai runcit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2019.

Pada Mac lalu, GHL Systems Bhd mengumumkan ia menang kontrak bernilai RM25 juta daripada Kementerian Kewangan untuk pembangunan dan pelaksanaan aplikasi perisian dan peranti bagi program subsidi kerajaan untuk minyak jenis RON95.

Tambah sumber lagi, sistem pembayaran berkad sukar dilaksanakan di kawasan pendalaman kerana kekurangan stesen minyak.

Disebabkan faktor jarak dan penduduk luar bandar yang tinggal bertebaran di kawasan, penduduk cenderung membeli minyak dari kedai runcit atau peniaga jalanan, bukannya di stesen minyak.

Subsidi petrol bersasar bertujuan mengurangkan beban isi rumah apabila kerajaan memutuskan mengapungkan petrol RON95. Kerajaan pada mulanya bercadang memperkenalkannya pada 1 Julai lepas.

Pada masa kini, harga RON97 diapungkan kerajaan, tetapi RON95 masih disubsidi. Untuk minggu ini (31 Ogos-6 September), harga RON97 adalah RM2.50 seliter manakala RON95 berharga RM2.08. Harga diesel pula adalah RM2.18 seliter.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam memberitahu wartawan yang kertas cadangan sudah dimuktamadkan dan sedang menunggu pembentangan di Kabinet untuk kelulusan pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

“Ia berjalan mengikut jadual, saya tinggal hanya bentangkan kepada Jemaah Menteri sahaja.

“Kertasnya pun kita sempurnakan dalam tempoh terdekat apabila kita bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan susuli dengan pengumuman,” katanya. – 3 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen