Kertas cadangan subsidi petrol bersasar B40 tunggu kelulusan Kabinet, kata menteri


Diyana Ibrahim

Saifuddin Nasution berkata kertas cadangan subsidi petrol bersasar sedang menunggu kelulusan Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2019.

KERTAS cadangan pelaksanaan subsidi petrol bersasar kepada golongan kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40) akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat, kata Saifuddin Nasution.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu berkata, kertas sudah siap dan sedang menunggu untuk dibentangkan dan mendapat kelulusan Kabinet.

“Ia berjalan mengikut jadual, saya tinggal hanya bentangkan kepada Jemaah Menteri sahaja.

“Kertasnya pun kita sempurnakan dalam tempoh terdekat apabila kita bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan susuli dengan pengumuman,” katanya media di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Ogos lalu, Saifuddin dilaporkan berkata pelaksanaan subsidi itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat. 

Subsidi petrol bersasar B40 adalah peruntukan yang dibentangkan pada Belanjawan 2019 tahun lepas.

Ia menetapkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme terbaru itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 yang dihadkan kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motorsikal. – 2 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen