SEHARI menjelang sambutan mengenang Merdeka, Mohd Arif Izwani terus juga berniaga macam biasa menjual nasi kukus dan ayam goreng sambal Kelantan.
Tetapi hari itu dia bermula agak lambat kerana sebelumnya ada urusan di bengkel membetulkan kereta Proton Waja yang dipakainya sejak 12 tahun.
“Terbang lagi RM100,” kata Arif dalam loghat Kelantan, sambil dia sibuk menggoreng ayam dan membancuh air perisa berwarna ungu.
Namun hidupnya bukan selalu begitu, kata lelaki 31 tahun itu semasa ditemui di gerainya di perkarangan SMK Tiara Permai di Taman Wahyu, Kuala Lumpur.
Sebelum datang ke Kuala Lumpur, Arif pernah bekerja menjual langganan Astro di Pasir Puteh, Kelantan. Pendapatannya ketika itu RM3,000 sebulan. Tetapi selepas diberhentikan bersama 30 yang lain untuk menjimatkan kos operasi, Arif datang ke ibu kota bersama isteri dan dua anaknya pada 2014.
“Masa itu pendapatan bagus. Tetapi selepas kena buang kerja, susah nak dapat kerja lain sebab kerja kurang di Kelantan,” kata Arif, yang sekarang sudah ada empat anak, kepada The Malaysian Insight.
Walaupun ada banyak kerja di kota, tidak semuanya sesuai dengan Arif yang hanya berkelulusan SPM.

Sepanjang tiga tahun pertama, Arif dan isteri bertahan dengan menjual pakaian dan minyak wangi di Facebook. Untungnya ala kadar, jarang lebih beberapa ratus ringgit sebulan.
Selepas pendapatan pun habis untuk sewa rumah dan makanan, mereka berpindah ke rumah ipar di flat program perumahan rakyat di Taman Wahyu.
Flat itu tidaklah sempurna untuk dia dan keluarganya enam beranak. Mereka berkongsi unit dengan dua bilik tidur itu bersama tujuh ahli keluarga yang lain. Itu saja pilihan yang ada.
Unit flat yang dihuni 13 jiwa itu disewa RM125 sebulan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Arif sekarang cuba mendapatkan rumah sewa dari DBKL dan masih menunggu jawapan sejak Januari lalu.
Selepas perniagaannya di Facebook gagal, Arif mengadu nasib kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Dapatlah dia RM1,500 yang dijadikannya modal untuk berniaga tanpa lesen di depan sekolah.
Dengan duit itu dia membeli meja lipat, khemah kecil, periuk dapur dan bahan memasak untuk memulakan perniagaan nasi kukus ayam. Sebungkus nasi dijualnya pada harga RM5.50.
“Saya cuba dapat lesen niaga dari DBKL tetapi mereka kata tidak ada lesen untuk gerai tepi jalan.”

Kalau hari baik, dapatkan Arif antara RM900 hingga RM1,200 sebulan. Tetapi duit itu cukup makan sampai hujung bulan tanpa berbaki simpanan, katanya.
“Kami boleh nak balik kampung sekali setahun, masa Raya. Itupun korek mana duit yang tinggal,” tambahnya.
Walaupun di ambang sambutan Merdeka, cuti Hari Kebangsaan bukanlah perayaan bagi Arif dan keluarganya.
“Bolehlah pergi bandar tengok lampu. Kami tak mampu yang lain. Hari lain, kami duduk saja di Batu, sebuah mukim dalam Kuala Lumpur yang juga kawasan Parlimen.
Miskin bandar
Pengerusi daerah kawasan Parlimen Baru Vincent Yap berkata ada banyak kes seperti Arif di kawasannya.
“Banyak yang berhijrah dari negeri lain, bergelut menyara hidup.
“Susah untuk bantu kes yang melibatkan warga emas kerana mereka tidak boleh bekerja dan tiada tanggungan tetapi bagi keluarga seperti Arif kami bantu untuk mulakan perniagaan atau dapatkan rumah sewa dari DBKL,” kata ahli majlis itu.
Sebuah badan masyarakat, Women of Will, juga memulakan program membuat roti untuk golongan miskin di Batu tahun ini.
Menurut Yap, Batu ada enam zon dan setiap satunya mempunyai antara tiga hingga enam flat PPR. Setiap flat PPR mempunyai tiga blok 18 tingkat. Setiap tingkat mempunyai 24 unit kediaman, yang keseluruhannya berjumlah hampir 10,000 orang.
Bekas perunding pengurusan hartanah itu berkata pembangunan yang melampau di kawasan Sentul memaksa mereka yang miskin tinggal di perumahan awam.
Kebanyakan mereka adalah daripada kumpulan B40, kata Yap.
“Walaupun ada yang berpendapatan RM2,000 sebulan, ada juga yang hanya ada RM1,000 sebulan.”

Angka kemiskinan tegar di Malaysia jadi perhatian baru-baru ini selepas pelapor khas Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata Malaysia tersalah kira rakyatnya yang miskin.
Menurut Prof Philip Alston, kadar kemiskinan yang realistik di Malaysia ialah antara 16% hingga 18% daripada penduduknya, dan bukan 0.04% seperti yang diumumkan.
Ahli ekonomi Prof Martin Ravallion dari Universiti Malaya juga berpandangan garis pendapatan miskin RM980 sebulan tidak lagi relevan untuk Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas.
Menurut kajian Ravallion yang diterbitkan pada Januari lalu, garis pendapatan miskin Malaysia sekarang bersamaan RM8 atau AS$2 sehari, yang sesuai dipakai pada tahun 1970-an.
“Kalau kita lihat negara yang pendapatan puratanya sama dengan Malaysia, kita akan jangka garis pendapatan miskinnya kira-kira AS$12 sehari – tiga kali ganda daripada Malaysia,” katanya.
Beliau mencadangkan kadar kemiskinan Malaysia pada 20%, dan bukannya 0.04%.
Pemenang pingat gangsa Paralimpik Seoul 1988 dan Barcelona 1992, Mariappan Perumal menganggap dirinya antara yang bertuah kerana dapat pencen sukan daripada kerajaan.
“Kalau tak ada pencen itu, saya terpaksa bergantung pada bantuan kebajikan,” kata Mariappan.
Beliau tidak boleh berjalan selepas mengidap polio pada umur tiga tahun.
“Setiap kali selepas saya wakil negara dalam angkat berat, saya akan hilang kerja,” kata Mariappan, ketika ditemui di flat dua biliknya di Batu.
“Syarikat tempat saya bekerja kata saya tinggalkan kerja lama sangat setiap kali saya wakil negara di luar negeri,” kata Mariappan.
Tetapi sedikit pun beliau tidak menyesal.
Mariappan, yang pernah menang 80 pingat sepanjang kerjaya sukannya, sekarang menerima RM400 sebulan daripada pejabat kebajikan. Isterinya B Chandriga yang juga terkena polio menerima bantuan yang sama.
Dengan duit tabungan, Mariappan dan Chandriga membesarkan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.
“Anak sulung saya yang perempuan bekerja dan belajar perakaunan secara sambilan. Anak lelaki belajar pendawaian elektrikal. Yang kecil di Tingkatan 2,” katanya.
Tetapi bekas ahli angkat berat yang kini berumur 61 tahun itu menganggap dirinya sangat bernasib baik.
“Susah tetapi bolehlah. Saya harap kementerian sukan boleh bantu kami dapatkan rumah awam atas tanah kerana kami berdua pakai kerusi roda. Tapi kalau flat di tingkat dua pun tak mengapa,” kata Mariappan.
Bagi Arif, masa depannya akan cerah sedikit kalau dapat unit rumah dari DBKL.
“Kami tidak lagi perlu berlonggok dalam satu flat. Siapa tahu, saya boleh buka kedai suatu hari nanti,” katanya, sambil menunjukkan deretan rumah kedai mengadap sekolah.
“Kita minta kasihan sikit saja daripada pihak berkuasa dan bantuan supaya saya boleh berdikari,” katanya.
Kasihan itu kerana pihak berkuasa datang menyerbu gerai tanpa lesennya, sementara bantuan ialah untuk mendapatkan flat sewa.
“Tetapi apa yang kita boleh buat ialah berharap saja,” kata Arif, yang minta diri bergegas mahu bersiap untuk sembahyang Jumaat.
Sementara Arif ke masjid, anak lelakinya berumur sembilan tahun menggantikan dia menunggu jualan. – 1 September, 2019.
Komen