Wanita B40 bertemu harapan baru dengan dapur komuniti


Chan Kok Leong

Siti Aida belajar bagaimana membakar biskut dan memasarkannya kepada badan-badan korporat semasa musim perayaan. Dapur komuniti ini juga turut merancang untuk membekalkan kepada syarikat-syarikat beberapa snek yang lebih sihat untuk bahagian pantri pekerja mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Jun, 2019.

BAHARU bercerai dan terpaksa menanggung tiga orang anak antara umur satu hingga 13 tahun, kehidupan tidak mudah bagi Siti Aida.

Beliau telah berpindah ke rumah pangsa PPR di Batu Muda, Jalan Ipoh pada tahun 2008 di Sentul dan mendapati pelanggan tetap untuk kerja-kerja jahitan kain semakin kurang.

“Ramai pelanggan saya tidak tahu bahawa saya dah berpindah ke sini dan orang pun semakin ramai memilih untuk membeli pakaian mereka daripada menempah jahitan, saya tidak lagi boleh ambil upah menjahit,” kata wanita berusia 50 tahun itu.

Beliau kemudian mula mengambil kelas membuat kek tradisional untuk dijual di flat Batu Muda, tetapi pendapatan dari membuat kek tersebut adalah rendah dan pendapatannya tidak menentu. Pendapatannya hanya sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan.

Sekarang, dengan berpakaian seragam putih tukang masak, Siti Aida tersenyum bangga kerana beliau kini merupakan anggota sebuah dapur komuniti baru yang terletak di flat PPR Batu Muda sejak tiga bulan lalu.

Beliau adalah salah seorang daripada 10 orang wanita pembuat roti dari kategori isi rumah B40 yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan. Aida dipilih untuk menyertai dapur komuniti perintis oleh sebuah kumpulan bukan kerajaan, Women of Will (WoW).

Kehidupan kini mulai berpihak kepada Siti Aida. Beliau yang mempelajari kemahiran membakar roti dan kek menyertai beberapa orang lagi kini bertanggungjawab dalam operasi dapur komersial, di samping turut bertanggungjawab dalam hal-hal pemasaran dan jualan.

Di sini, Siti Aida belajar bagaimana membakar biskut dan memasarkannya kepada badan-badan korporat semasa musim perayaan. Dapur komuniti ini juga turut merancang untuk membekalkan kepada syarikat-syarikat beberapa snek yang lebih sihat untuk bahagian pantri pekerja mereka.

Tidak seperti dapur komuniti yang lain, WoW bertujuan untuk membantu wanita dari isi rumah B40 untuk meningkatkan pendapatan mereka dengan aktiviti memasak bahan berasaskan tepung.

Wanita-wanita itu ditapis dengan teliti sebelum mereka dihantar untuk latihan asas, pengendalian makanan dan modul inventori. Semasa fasa latihan, wanita yang dipilih turut dibayar gaji mengikut jam.

Selain latihan, WoW membantu dapur komuniti dengan memasarkan produk mereka kepada syarikat-syarikat korporat.

Untuk musim raya tahun ini, dapur komuniti yang memiliki 10 tukang masak roti perintis ini telah memasak 22,500 kuih-muih untuk pesanan 800 buah hamper.

“Di sini, kita belajar bagaimana untuk membakar secara komersial dan kemudian menjualnya kepada syarikat. Memasak kuih secara komersial sangat berbeza dari masakan di rumah.

“Waktu juga fleksibel dan saya boleh bekerja di sini tanpa membelanjakan wang untuk perjalanan,” kata Siti Aida, yang tinggal di salah sebuah daripada 2,100 unit di PPR Batu Muda.

Beliau memperoleh kira-kira RM1,000 sebulan, namun beliau dapat berada dekat dengan rumah dan tidak perlu berbelanja untuk perjalanan menurutnya adalah satu nilai tambah.

Tiga anaknya kini masing-masing berumur 12, 18 dan 24. Menurut ibu tunggal itu beliau masih perlu menyokong dua anaknya yang masih bersekolah.

“Anak bongsu saya masih sekolah. Saya juga tidak pasti apa yang boleh saya lakukan dengan anak perempuan saya berusia 18 tahun yang setengah buta. “

Siti Aida masih menjual kuih tradisional masakan sendiri dan kemudian beliau akan bekerja di dapur komuniti.

“Saya masih boleh menjual kuih saya pada waktu pagi dan datang ke sini selepas itu,” katanya, gembira dengan peluang mendapat lebih banyak pendapatan.

Bagi Nor Shuhadah Nasaruddin yang berusia 33 tahun, dapur komuniti itu adalah peluang untuk menaikkan pendapatan isi rumahnya di samping dapat menjaga dua anaknya, berusia lapan dan tiga tahun.

“Suami saya adalah buruh yang mendapat kurang daripada RM2,000 sebulan. Dengan lima orang (termasuk nenek berusia 76 tahun) untuk ditanggung, wang itu tidak mencukupi.

“Walaupun saya membantu dengan menjual pinggan mangkuk di laman Facebook PPR, saya hanya boleh mendapat komisyen sebanyak RM100-RM300,” kata Shuhadah.

Dapur komuniti WoW adalah anugerah tuhan untuk diri dan keluarganya, kata Shuhadah.

“Saya boleh menghantar anak saya ke sekolah pada waktu pagi dan bekerja beberapa jam sebelum dia pulang untuk makan tengahari. Selepas itu, dia pergi untuk sekolah agama dan saya boleh bekerja di sini lagi,” kata Shuhada, yang menghabiskan masa enam jam sehari di dapur tersebut.

Beliau berkata bahawa ia adalah pendapatan yang stabil dan satu peluang untuk mempelajari kemahiran baharu.

“Saya tidak pasti berapa lama lagi dapur ini dapat bertahan, tetapi kemahiran yang saya pelajari di sini akan terus saya pegang selama-lamanya.” – 5 Jun, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen