62 tahun Malaysia merdeka, Orang Asal kini temui harapan


Sheridan Mahavera

Walaupun ada sinar, namun kerajaan Pakatan Harapan berdepan cabaran untuk mengubah nasib Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2019.

KINI kami temui sinar baharu, kata seorang ketua suku Orang Asli, Yusri Ahon ketika berbicara tentang masa depan masyarakat peribumi sempena Hari Kebangsaan Ke-62, hari ini.

Tetapi sinar itu masih jauh di hujung lorong gelap dan panjang kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran untuk mengubah nasib Orang Asal, istilah bagi semua suku peribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jika dibandingkan dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sepanjang 60 tahun lalu, kerajaan PH lebih bersikap positif terhadap cara hidup dan hak mereka berkenaan tuntutan tanah adat, kata Yusri.

Contohnya, peguam negara telah mengambil langkah luar biasa apabila memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Kelantan untuk memaksa mereka menghormati tanah adat suku Orang Asli di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy juga mengumumkan kerajaan akan mengiktiraf adat dan agama masyarakat Orang Asal, yang Yusri percaya satu langkah untuk melindungi hak mereka.

Namun, pemimpin hak asasi dan aktivis Orang Asal berkata perubahan positif ini belum lagi dinikmati suku-suku lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kejadian sepanjang tempoh berapa bulan menggambarkan halangan yang terpaksa ditempuh kerajaan untuk menjamin kehidupan yang lebih baik bagi Orang Asal.

Kanak-kanak Orang Asli di Tasik Cunex, Grik, Perak. Pemimpin hak asasi dan aktivis Orang Asal berkata perubahan positif ini belum lagi dinikmati suku-suku lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2019.

Tiga hari lalu, perkhidmatan pengangkutan anak-anak Orang Asli di Cameron Highlands ke sekolah dihentikan kerana Putrajaya tidak membayar pengendali sejak Mac.

Di Sarawak, masyarakat Iban masih berjuang menghalang pembalak dan peladang kelapa sawit mencuri tanah adat mereka.

Manakala di Sabah pula, banyak kes di mahkamah adalah berkaitan tuntutan Hak Tanah Adat (NCR) sedangkan negeri itu mempunyai undang-undang berkenaan tanah adat di negara ini, kata aktivis, Galus Ahtoi.  

Aktivis peribumi Sarawak, Nicholas Mujah berkata beliau sangsi tentang komitmen kerajaan Persekutuan terhadap hak mereka.

“Kami tahu tindakan kerajaan ada hadnya,” kata setiausaha agung Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia), merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan bahawa hal ehwal tanah terletak di bawah urusan kerajaan negeri, membataskan dasar Putrajaya mengenai tanah.

“Tetapi, walaupun perniagaan dan perladangan terletak di bawah kerajaan Persekutuan, tidak banyak yang dilakukan untuk mengubah kehidupan masyarakat peribumi menjadi lebih baik.” – 31 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen