SEMAKIN ramai pengendali bas sekolah untuk kanak-kanak Orang Asli bercadang menghentikan perkhidmatan mereka kerana kelewatan bayaran oleh Putrajaya, kata Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.
Beliau berkata masalah itu sudah pun bermula membabitkan beberapa pemandu bas dan ramai lagi pemandu bercadang mengambil tindakan sama di kawasannya.
Kebanyakan pemandu adalah kalangan Orang Asli, katanya.
“Beberapa bas sudah pun berhenti menghantar kanak-kanak Orang Asli ke sekolah minggu ini, dengan jangkaan banyak lagi berbuat yang sama tidak lama lagi,” kata wakil rakyat Barisan Nasional itu kepada The Malaysian Insight.
Masalah itu menjejaskan kanak-kanak sekolah yang tinggal di kawasan pedalaman, seperti Sinderut di mana jarak antara kampung-kampung Orang Asli dan sekolah terdekat ialah 40km, kata Ramli.
Beliau berkata terdapat antara 1,000 hingga 2,000 kanak-kanak Orang Asli di Cameron Highlands.
Kerusi Cameron Highlands di Pahang mempunyai jumlah pengundi terbesar dalam kalangan Orang Asli di Semenanjung iaitu 21.5% daripada 32,000 pengundi berdaftar.
Orang Asli di Cameron Highlands kebanyakannya dari suku Semai dan tinggal di kawasan tanah tinggi.

Menurut Ramli, yang juga wakil rakyat pertama daripada keturunan Orang Asli Semai di negara ini, pengendali bas mengadu kepadanya bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak membayar mereka sejak Mac.
“Majoriti pengendali bas ini adalah Orang Asli dan tidak dapat meneruskan perkhidmatan mereka kerana kurang duit yang diperlukan bagi menyelenggarakan bas mereka,” katanya yang juga pesara polis sebelum bertanding di kerusi itu pada Januari lalu.
“Kerajaan perlu memastikan pengendali ini dibayar mengikut masa supaya perkhidmatan mereka tidak terjejas,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau sudah menghubungi pihak berkuasa, Ramli berkata: “Saya ada hubungi Jakoa dan menurut mereka, Pejabat Perdana Menteri belum membayar mereka lagi.”
Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo ketika dihubungi berkata pihaknya sedar tentang masalah itu tetapi enggan mengulas.
Katanya, hanya menteri berkenaan dapat menjawab tentang isu itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang mengendalikan portfolio perpaduan kaum turut bertanggungjawab dalam hal ehwal Orang Asli. – 28 Ogos, 2019.
Komen