Lebih 40% anak Orang Asli terjejas kerana masalah bas sekolah 


Sheridan Mahavera

Pelajar anak Orang Asli memerlukan pengangkutan bas berikutan kedudukan sekolah yang terletak jauh daripada penempatan mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2019.

MASALAH ganguan perkhidmatan bas sekolah bukan sahaja melibatkan Pahang, tetapi turut menjejaskan 40% anak Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang kebanyakan mereka pelajar sekolah menengah.

Pelajar ini bergantung kepada perkhidmatan yang dibayar oleh kerajaan kerana penempatan mereka terletak hampir beberapa jam perjalanan dari sekolah, kata wakil rakyat dan kumpulan yang bekerja dengan masyarakat itu. 

Setakat September, terdapat 26,571 pelajar Orang Asli menghadiri sekolah rendah, manakala jumlah mereka yang hadir ke sekolah menengah adalah 13,155. 

Trak pikap, van dan adakalanya bas yang mempunyai 20 kerusi, dikendalikan kontraktor swasta, sesetengah daripadanya dimiliki Orang Asli, digunakan untuk mengangkut pelajar dari penempatan mereka di kawasan pedalaman, kata Centre for Orang Asli Concerns (COAC). 

Adun Pahang Chiong Yoke Kong berkata, majoriti anak-anak yang terjejas adalah pelajar sekolah menengah.

“Terdapat pelajar sekolah menengah di setiap penempatan Orang Asli, jadi murid sekolah rendah tinggal berhamoiran sekolah mereka,” kata Chiong yang merupakan Adun Tanah Rata. 

“Tetapi sekolah menengah terletak jauh dari penempatan mereka dan pelajar ini memerlukan perkhidmatan pengangkutan. Masalah ini sudah berlarutan sejak Jun lalu.”

Pengasas COAC Dr Colin Nicholas berkata di Semenanjung, kira-kira 30% hingga 40% pelajar Orang Asli terjejas dengan gangguan perkhidmatan bas sekolah. 

Nicholas berkata sebahagian darpada anak-anak Orang Asli sama ada hadir ke sekolah rendah atau mereka yang tinggal di asrama sekolah menengah tidak terjejas. 

“Hanya pelajar yang tidak tinggal di asrama tetapi penempatan mereka masih jauh yang terjejas,” kata Nicholas, dan menambah terdapat satu masalah lagi dengan pengendali bas ini.

“Di Pos Bala, Gua Musang, ibu bapa enggan menghantar anak mereka ke sekolah kerana trak pikap yang digunakan terlibat dalam kemalangan dan ada anak-anak mereka terjatuh. 

“Di tempat lain, kontraktor tidak sediakan kenderaan secukupnya, jadi sebuah bas digunakan untuk dua tiga perjalanan setiap pagi. Ini bermakna anak-anak in terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk menaiki bas.”

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan operator bas yang membawa anak-anak Orang Asli di Cameron Highlands menghentikan perkhidmatan mereka selepas tidak dibayar sejak 4 bulan.

Pengendali ini dibayar oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

Jakoa selepas itu berkata, dana berkenaan sudah dikeluarkan namun ia memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan. 

Dalam posting di Facebooknya selepas itu, Jakoa berkata pengendali bas akan dibayar tidak lama lagi. – 29 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen