PEGUAM Syariah dan hak asasi manusia berbeza pendapat mengenai keputusan mahkamah tinggi untuk menolak permohonan Sisters In Islam (SIS) mencabar fatwa pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mahkamah sivil memutuskan ia tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu dan menyatakan langkah untuk mencabar fatwa sepatutnya dirujuk ke mahkamah syariah.
Ia juga mengatakan fatwa itu terpakai kepada SIS kerana pemegang jawatannya adalah orang Islam.
SIS yang didaftarkan sebagai SIS Forum (Malaysia) di bawah Akta Syarikat 1965. Organisasi itu menyediakan khidmat nasihat guaman kepada wanita Islam, menentang perkahwinan bawah umur dan mutilasi alat kelamin wanita serta mempromosikan kesamarataan gender.
Hari ini, peguam syariah Saadiah Din bersetuju fatwa itu terpakai ke atas SIS, dan mana-mana individu atau kumpulan sekiranya mereka beragama Islam, dan jika keputusan itu diwartakan di bawah undang-undang syariah.
“Pada pendapat saya apa-apa fatwa yang telah diwartakan adalah berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan pada orang Islam, tidak kira sama ada mereka berada dalam kumpulan atau individu, atau bahkan dalam sebuah syarikat dengan ahli lembaganya adalah orang Islam.
“Dalam hal ini fatwa adalah penting, lebih-lebih lagi SIS membawa perkataan ‘Islam’ dalam namanya,” kata peguam kanan itu kepada The Malaysian Insight, sambil menambah bahawa SIS harus merujuk perkara itu ke mahkamah syariah.
SIS semalam berkata ia akan mendapatkan nasihat undang-undang sama ada untuk membawa perkara itu ke mahkamah syariah atau mengemukakan rayuan di mahkamah sivil.
Fatwa Selangor dikeluarkan terhadap SIS pada 17 Julai 2014 kemudiannya digazetkan pada 31 Julai tahun sama, mengisytiharkan SIS sebagai organisasi sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana menyokong liberalisme dan pluralisme.
SIS memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu pada Oktober, 2014.
Peguam Siti Kasim dalam reaksinya terhadap keputusan mahkamah itu semalam menyifatkan ia sebagai “gila dan tidak masuk akal” kepada orang Islam.
Bagaimanapun, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla berkata, beliau bersetuju dengan keputusan hakim dan berkkata ia perlu difahami berdasarlan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Islam adalah agama persekutuan tetapi persekutan bukan benda hidup. Majoriti rakyat beragama Islam, justeru agama rasmi persekutuan adalah Islam.”
“Ianya konsep yang sama dalam perkara ini. Pemegang jawatan adalah beragama Islam, jadi fatwa terpakai kepada pengarah dan ahli lembaga pengarah,” katanya ketika dihubungi.
Haniff Khatri memberi persamaan dengan pengarah syarikat yang didakwa atas kesalahan alam sekitar.
“Kita boleh lihat dalam kes melibatkan isu alam sekitar. Apabila syarikat didapati bersalah atas kesalahan melibatkan alam sekitar seperti pencemaran, mereka (pengarah atau pengurusan) yang bertanggungjawab, akan berdepan tindakan undang-undang, bukannya syarikat,” katanya.
Kumpulan advokasi hak undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) bagaimanapun tidak bersetuju dan mengatakan keputusan mahkamah itu adalah “mengganggu”.
“Mahkamah syariah tiada bidang kuasa ke atas SIS yang merupakan sebuah syarikat.
“Ruang korporat hanya boleh ditarik dalam kes penipuan, yang tidak dibenarkan dalam kes ini dan akan membawa kesan buruk kepada entiti korporat di Malaysia,” kata penyelaras undang-undang LFL, Zaid Malek.
Beliau juga menyatakan perbezaan antara mahkamah syariah dan sivil, memetik Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang mengambil kuasa kehakiman itu secara eksklusif di Mahkamah Tinggi sivil dan bidang kuasa dan kuasa mereka tidak terhad kepada undang-undang persekutuan.
LFL berkata mengisytiharkan SIS sebagai entiti sesat akan membuka ruang bagi tindakan yang tidak diingini untuk diambil terhadap kumpulan advokasi wanita sama ada oleh Negeri atau oleh phak yang terkeliru.
“SIS telah disasarkan oleh pihak berkuasa agama meskipun beberapa dekad menjalankan kerja advokasi dan hak asasi manusia yang menumpukan kepada hak-hak wanita dalam Islam dan memberikan legitimasi kepada fatwa yang tidak toleran menunjukkan bahawa semua kerja yang disebutkan di atas adalah bertentangan dengan ajaran Islam.”
“Kami menyeru pihak berkuasa untuk melindungi semua pembela dan organisasi hak asasi manusia yang sangat penting dalam memastikan mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat dan bebas dari serangan, pembalasan dan sekatan yang tidak munasabah.”
Peguam hak asasi manusia Firdaus Husni juga tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah, mengatakan bahawa syarikat tidak boleh menganut agama.
“Perkara 1 dalam senarai Perlembagaan Persekutuan adalah jelas perkara yang berkaitan Islam dengan bidang yang dinyatakan, terpakai (kepada) ‘orang’ yang menganut agama Islam. Syarikat tdak bleh dikatakan menganut agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Beberapa kes lain telah menyatakan dan mengesahkan perkara yang sama,” tambahnya.
Dalam usaha menentang fatwa Selangor, SIS mengatakan bahawa di bawah Akta Syarikat 1965, syarikat itu adalah terhad oleh jaminan dan tidak terikat dengan keputusan Majlis Agama Islam Selangor dan jawatankuasa fatwanya. – 28 Ogos, 2019.
Komen