Bayaran kepada pengendali bas perlu kelulusan kementerian, kata Jakoa


Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo berkata jabatan itu komited untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2019.

JABATAN Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah memohon kelulusan pembayaran untuk pengusaha bas sekolah bagi kanak-kanak Orang Asli di Cameron Highlands kepada Kementerian Kewangan, kata ketua pengarahnya.

Prof Dr Juli Edo berkata jabatan itu komited untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

“Jakoa telah mengangkat permohonan pembayaran perkhidmatan bagi bulan April, Mei dan Jun 2019 kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Jakoa mempunyai peruntukan mencukupi bagi tujuan pembayaran tersebut dan memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan selaras dengan peraturan semasa sebelum pembayaran dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan semakin ramai pengendali bas sekolah untuk kanak-kanak Orang Asli di Cameron Highlands bercadang menghentikan perkhidmatan mereka kerana kelewatan bayaran oleh Putrajaya.

Menurut Ramli, yang juga wakil rakyat pertama daripada keturunan Orang Asli Semai di negara ini, pengendali bas mengadu kepadanya bahawa Jakoa tidak membayar mereka sejak Mac.

Masalah itu menjejaskan kanak-kanak sekolah yang tinggal di kawasan pedalaman, seperti Sinderut di mana jarak antara kampung-kampung Orang Asli dan sekolah terdekat ialah 40km, katanya.

Beliau berkata terdapat antara 1,000 hingga 2,000 kanak-kanak Orang Asli di Cameron Highlands.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah menghubungi pihak berkuasa, Ramli berkata: “Saya ada hubungi Jakoa dan menurut mereka, Pejabat Perdana Menteri belum membayar mereka lagi.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang mengendalikan portfolio perpaduan kaum turut bertanggungjawab dalam hal ehwal Orang Asli.  – 28 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen