SPR tidak rayu keputusan Kimanis atas nasihat perundangan, kata pengerusi


Noel Achariam

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, keputusan untuk tidak merayu itu dibuat secara profesional selepas mempertimbangkan setiap aspek kes berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Pilihan Raya yang membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kimanis tidak mengenal pasti individu bertanggungjawab memperkenalkan kertas undi tambahan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan peguam kepada bekas menteri luar Anifah Aman, Tengku Fuad Ahmad, hari ini yang menyatakan SPR mengecewakan orangnya sendiri kerana tidak merayu kerana keputusan mahkamah dibuat kerana kesalahan agensi itu.

Azhar berkata keputusan untuk tidak merayu itu dibuat secara profesional selepas mempertimbangkan setiap aspek kes berkenaan.

“Jika kita lihat kepada penghakiman, mahkamah hanya membuat kenyataan umum bahawa kertas undi tambahan diperkenalkan.

“Tetapi mahkamah tidak dapat mengenal pasti siapa yang melakukannya. Jadi tidak ada prosiding jenayah terhadap sesiapa kerana tiada siapa dikenal pasti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Terdahulu, Tengku Fuad berkata “sangat mengejutkan yang SPR tidak memihak kepada pegawainya sendiri”.

“SPR sepatutnya merayu kerana berdasarkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, pegawai pengurus pilihan raya dan pegawai lain kini terdedah kepada potensi liabiliti jenayah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Azhar berkata, mahkamah tidak dapat mengenal pasti sekiranya SPR yang memperkenalkan kertas undi itu.

Anifah hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang pada 16 Ogos lalu memutuskan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lalu dibatalkan.

Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk membebaskan Anifah daripada pertuduhan rasuah dan salah laku terhadapnya berkaitan pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, mahkamah membatalkan keputusan selepas mendapati 384 kertas undi di Kampung Brunei dan 54 di SJK Cheng Meng tidak diuruskan dengan baik.

Azhar berkata, SPR faham dan menerima keputusan mahkamah dan tidak akan merayu.

“Bagaimanapun, sekiranya rayuan dibuat oleh Anifah dan kami dinamakan sebagai responden, maka SPR akan hadir pada prosiding dan mengambil bahagian sebagaimana yang perlu.

“Buat masa ini, SPR akan menunggu pengumuman keputusan Mahkamah Rayuan atau sehingga tamat temph rayuan, iaitu pada 29 Ogos untuk tindakan lanjut. SPR sentiasa bersedia untuk jalankan pilihan raya kecil sekiranya perlu.”

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi, meraih 11,942 undi berbanding Karim Bujang dari Warisan yang mendapat 11,786 undi pada pilihan raya umum lalu.

Azhar juga berkata, SPR sentiasa bersama dengan semua pegawai dan petugas pilihan rayanya.

“Pada pilihan raya kecil Rantau, SPR didapati bersalah kerana tidak benarkan calon menghantar kertas pencalonan, namun sentiasa bersama pegawainya.

“Terdapat beberapa penemuan yang kurang baik mengenai pegawai petugas pilihan raya berkenaan dan kami telah membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Walaupun RO didapati menghina mahkamah, kami membawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan mereka memerintahkan perkara itu didengar semula di mahkamah tinggi.

Beliau berkata bahawa SPR akan terus mempertahankan kakitangannya walaupun menerima tamparan untuk merayu perkara itu. – 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen